MALAYSIA Aviation Group Bhd (MAG) kini pada peringkat akhir pelaksanaan penstrukturan semula hutang RM16 bilion Malaysia Airlines Bhd dan berkata ia sedang mengkaji pilihan menggunakan Skim Pengaturan UK bagi menyelesaikannya.
MAG, syarikat induk penerbangan nasional dalam satu kenyataan semalam berkata pilihan UK itu bagaimanapun bergantung kepada persetujuan sekumpulan minoriti kecil pemiutang yang masih berpegang kepada cadangan pelan penstrukturan semula.
MAG, yang menetapkan suku pertama tahun ini untuk menyelesaikannya, sedang berunding dengan kira-kira 40 pemiutang, pemberi pinjaman dan pembekal utama untuk menerima pemotongan hutang tertunggak sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Izham Ismail, yang juga meurupakan CEO Malaysia Airlines, dalam wawancara pada 12 Oktober dengan portal The Edge, berkata apabila MAS mendapat sokongan daripada pemiutang bagi pelan hutang, ia akan memfailkannya kepada mahkamah UK untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.
Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham tunggal MAG, akan bertindak dengan menyuntik modal baharu ke dalam syarikat penerbangan nasional untuk membolehkannya terus beroperasi sehingga pemulihan penuh yang diharapkan dalam pasaran perjalanan udara domestik dan Asean yang dijangka tahun depan.
Dalam kenyataan itu, MAG berkata “kemajuan yang baik sudah dicapai dengan sokongan penuh oleh sebahagian besar pemiutangnya bagi kesepakatan persetujuan”.
“MAG yakin ia akan mencapai situasi menang-menang dengan semua pemiutang terlibat dan berharap dapat melaksanakan pelan perniagaan jangka panjangnya yang disemak semula bersama rakan kongsinya,” tambahnya.
Kedudukan mudah tunai kumpulan syarikat MAG berjumlah RM366 juta pada 31 Ogos tahun lalu.
Ia juga dijangka memperoleh dana RM578 juta yang disediakan oleh Khazanah.
Syarikat penerbangan mungkin terpaksa gulung tikar jika pelan penstrukturan semula gagal. – 7 Januari, 2021.
Komen