Bekas juruterbang, pramugari berniaga tampung kehidupan


Angie Tan

Tommy Tham Swee Lin rindu untuk terbang di awan biru dan terus berharap industri penerbangan akan pulih satu hari nanti. – Gambar The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

MINAT mereka dalam arena penerbangan tidak pernah padam walaupun pandemik Covid-19 menyebabkan industri itu terjejas teruk dan ramai tenaga kerjanya kini menganggur.

Bekas juruterbang Tommy Tham Swee Lin dan bekas pramugari Chew Khon Lu masing-masing mendapat pekerjaan pertama dalam industri penerbangan dan kekal dalam bidang itu hinggalah krisis kesihatan dunia memaksa mereka mencari rezeki di tempat lain.

Tham, 31, adalah salah seorang daripada hampir 200 juruterbang AirAsia yang diberhentikan kerja tiba-tiba pada Jun.

Beliau yang menjalani latihan juruterbang pada usia 18 tahun dan bekerja dua tahun kemudian, tidak pernah terfikir untuk berubah kerjaya.

“Saya tidak sangka pandemik akan mengubah segalanya,” kata Tham kepada The Malaysian Insight.

“Sebelum notis itu diterima, syarikat kata ia dalam keadaan baik. Tetapi pada Jun, ia pecat ramai juruterbang dalam satu masa yang sama. Kami sangat terkejut.

“Ini pekerjaan pertama saya. Saya sangat suka kerja ini tetapi tiba-tiba dipecat. Saya tidak tahu bagaimana hendak bertindak.”

Kerana kurang pengalaman dalam bidang lain, Tham berkata bukan mudah hendak mencari pekerjaan baharu untuk menggantikan kerjaya yang memberi gaji RM50,000 sebulan.

Beliau dan isteri akhirnya membuka perniagaan buah-buahan. Sebagai persediaan, Tham bekerja di pusat borong buah untuk belajar selok-belok perniagaan itu.

“Saya bangun jam 4 pagi dan bekerja dari 5 hingga 6 pagi. Setiap hari, saya sibuk mengangkat barang, belajar cara simpan buah dan beli barang. Selepas tiga minggu, saya mulakan perniagaan sendiri dengan isteri.”

Beliau menguruskan pemilihan buah, pembungkusan dan penghantaran. Setiap hujung minggu, beliau ke taman berhampiran dan menjual buah dari keretanya.

Bekas juruterbang Tommy Tham Swee Lin dan isterinya kini berniaga buah dari bonet kereta di taman berhampiran rumah mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

“Pada awalnya, bekas rakan sekerja terkejut bila dengar hal ini. Mereka tidak boleh bayangkan kapten mereka jual buah, tetapi mereka semua beri sokongan pada saya.”

Tham berkata ramai juga orang awam yang lalu lalang hairan melihat beliau berniaga dari bonet kereta.

Kini beliau ada kira-kira 150 pelanggan tetap, dan walaupun pendapatannya menurun secara drastik, Tham berkata ia cukup untuk menampung kehidupannya dan isteri.

“Walaupun saya ada simpanan, saya tidak tahu bila epidemik ini akan berakhir. Saya tidak boleh bergantung sepenuhnya pada simpanan.”

Sementara itu, Chew, 24, bekerja di AirAsia sejak berusia 20 tahun.

“Kerja itu mungkin nampak glamor tetapi ia bukan semudah yang kita nampak. Kami perlu lulus peperiksaan, bertanggungjawab dan bekerja dalam keadaan memenatkan, yang menjejaskan tidur dan kesihatan kami.”

Katanya, beliau risau hilang pendapatan ketika menerima surat pemberhentian kerja pada Jun.

“Gaji bulanan saya antara RM4,000 hingga RM5,000, cukup untuk membayar pinjaman kereta dan saya merancang untuk membeli rumah. Pada awalnya sukar untuk saya terima kehilangan kerja.”

Chew merindui rakan sekerja yang sudah dianggap seperti keluarganya sendiri.

“Sayang sangat hilang kerja itu, tetapi hidup perlu diteruskan. Hidup akan terus menguji kita.”

Memandangkan beliau suka kopi, keluarga menggalakkannya untuk memulakan perniagaan dengan menjual kopi jenamanya sendiri.

“Saya dapat beberapa pelanggan tetap berbekalkan pengalaman kemahiran komunikasi sepanjang jadi pramugari. Tetapi, perniagaan saya masih perlu lebih banyak promosi.”

Pekerjaan baharunya itu memerlukan beliau mencari pembekal, memilih biji kopi dan pembungkusan.

Pada Jun, AirAsia mengumumkan pemberhentian 333 pekerjanya untuk mengurangkan kos operasi. Mereka yang terbabit ialah 172 juruterbang, 111 anak kapal dan 50 jurutera.

AirAsia dan AirAsia X dijangka melakukan pemberhentian pekerja kali kedua susulan pandemik masih tidak menunjukkan tanda akan pulih.

Menurut sumber, juruterbang yang tidak diberhentikan perlu mengambil 15 hari cuti tanpa gaji setiap bulan. – 14 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen