Doktor tangani Covid-19 meninggal dunia kerana letih, kata laporan


Gambar Dr Ali Noor Hassan duduk di kerusi dengan badannya terlungkup di atas meja dan berpakaian PPE lengkap yang tular di media sosial semalam. – Gambar Facebook, 20 Januari, 2021.

SEORANG doktor meninggal dunia selepas pengsan akibat terlalu letih selepas bertugas untuk tempoh yang lama bagi menangani pesakit Covid-19, kata laporan.

Harian Metro menyebut, Allahyarham Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia kerana terlalu penat dan tidak cukup masa untuk berehat ketika bertugas.

Laporan itu memetik kenyataan di laman Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) yang memaklumkan mengenai sebab kematian tersebut.

“(Dr Ali meninggal dunia) kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

“Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan,” kata laporan itu.

Gambar menunjukkan Ali duduk di kerusi dengan badannya terlungkup di atas meja dengan memakai PPE lengkap juga tular di media sosial semalam.

Makluman di akaun Facebook Ali pula menyebut, doktor tersebut meninggal dunia kira-kira tengah malam pada Isnin.

Jenazah seterusnya dikebumikan di Suakekal Bandar Tun Hussein Onn, menurut makluman tersebut.

Beberapa doktor yang bertugas menangani pandemik Covid-19 memberitahu The Malaysian Insight, kakitangan berkenaan kini amat kelesuan.

Mereka memberi amaran, sistem kesihatan kini hampir lumpuh kerana kerajaan masih tidak mengambil teladan dari tindakan sejak pandemik mula ditangani 10 bulan lalu.

Para doktor ini berkata diberi layanan buruk dan terpaksa bertugas sehingga 15 jam sehari.

Semalam, lebih 3,600 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah 165,371 kes aktif pada waktu ini .

Ia merupakan hari keenam negara merekodkan kes harian melebihi 3,000.

Bagi menangani peningkatan mendadak itu, sebanyak 14 lagi hospital Covid-19 akan mula beroperasi. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen