Kami dilayan macam pekerja kilang, kata doktor barisan hadapan 


Elill Easwaran

Petugas barisan hadapan kesihatan kini berdepan lonjakan kes Covid-19 menyebabkan mereka semakin keletihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

KEGAGALAN Kementerian Kesihatan untuk menyusun strategi berkesan dalam menangani pandemik Covid-19 menyebabkan petugas barisan hadapan kesihatan kepenatan, kata beberapa doktor yang terkesan menyamakan keadaan mereka seperti pekerja kilang.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, doktor yang enggan identitinya didedahkan itu berkata kementerian tidak mempelajari apa-apa dalam menguruskan pandemik sejak 10 bulan lalu.

Menurut mereka sikap kementerian yang menyedihkan, terutamanya di hospital Covid-19, menyebabkan petugas kesihatan mengalami beban kerja dan dibiarkan tanpa mengambil kira keperluan mereka.

Mereka berkata sistem penjagaan kesihatan hampir lumpuh, terutamanya dengan peningkatan kes harian Covid-19.

“Sampai satu tahap kami berasa seperti pekerja asing di kilang,” kata doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Ariq.

Menurutnya sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, waktu bertugas mereka adalah dari 8 pagi hingga 5 petang namun kini syif menjadi 14 hingga 15 jam sehari.

Beliau menyalahkan kegagalan kementerian dalam membuat perancangan serta keengganan mereka mendengar keluhan doktor di lapangan.

Ariq berkata kementerian perlu meletakkan semua hospital kerajaan dalam keadaan bersedia untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 daripada meletakkan mereka di hospital terpilih.

“Kesemua hospital perlu diminta menubuhkan satu pasukan dan bersedia daripada hanya menggunakan Hospital Sungai Buloh. Ini adalah beban yang sepatutnya ditanggung semua pihak, kata Ariq.

Menurutnya, mereka hanya mendapat cuti lima hingga enam hari sebulan walaupun terpaksa bekerja lebih masa.

“Kerajaan menyatakan keadaan mental mereka yang terpaksa bekerja dari rumah membimbangkan. Jadi bagaimana dengan kami? Terdapat juga kes tekanan dalam kalangan kami. Nampaknya tiada siapa yang ambil berat tentang kami.”

Seorang lagi doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Ruben berkata kementerian dan pegawai kanan di hospital tempatnya bertugas beranggapan doktor mampu menguruskan sendiri jumlah kes yang melonjak.

Beliau berkata ada masanya beliau terpaksa menguruskan sehingga 200 pesakit sehari.

Sementara itu, seorang lagi doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Rachel berkata beliau merasakan seperti diambil kesempatan dan kecewa kerana kerajaan tidak mengendahkan kebajikan dan keselamatan dirinya dan rakan-rakannya.

“Prosedur operasi standard (SOP) sentiasa berubah agar mereka boleh memenangi hati rakyat namun bagaimana dengan kami, yang mempertaruhkan nyawa setiap hari?

“Walaupun kemungkinan PKP akan dilanjutkan melebihi dua minggu. Mengapa mereka tidak terus umumkan sahaja daripada mengemaskini setiap dua minggu,” soal Rachel.

Rata-rata petugas kesihatan semakin kepenatan menguruskan pandemik Covid-19.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Januari, 2021.

Meluahkan marah secara umum

Dalam posting di media sosial sebelum ini, pengguna Facebook Dr Mustapha Kamal berkata beliau dan rakan setugasnya kini semakin lesu menguruskan situasi Covid-19.

Apa yang mengecewakan katanya adalah tiada sokongan daripada pegawai atasannya.

“Saya keletihan menyebabkan saya memohon cuti sakit selama tiga hari namun saya terkejut dengan jawapan yang saya terima,” katanya di Facebook.

Beliau turut berkongsikan tangkap layar mesej daripada pegawai atasannya yang menyatakan beliau boleh “keluar” jika tidak mahu melakukan tugas Covid.

“Saya dah lihat rakan sekerja saya rebah, rakan saya masuk dan keluar kuarantin. Kebanyakan kami sudah kepenatan,” kata Dr Mustapha. 

Seorang lagi doktor dalam surat terbukanya kepada media berkata mereka tiada bilik khas untuk berehat dan tidak menerima sebarang bekalan makanan sebagaimana yang dijanjikan. 

Tambahnya mereka terpaksa menangguhkan waktu makan kerana sibuk dengan pesakit, kerana kafeteria hospital biasa ditutup sebaik sahaja mereka habis kerja. 

Malah mereka turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan sendiri bekalan makanan kerana terpaksa menanggalkan peralatan perlindungan peribadi untuk menerima bungkusan makanan, katanya.

Minggu lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sistem penjagaan kesihatan Malaysia kini di tahap kritikal apabila hospital kerajaan tidak mampu lagi menerima kes positif Covid-19 melebihi 3,000 setiap hari.

Muhyiddin juga berkata 15 hospital menggunakan 70% katil di bahagian bukan rawatan rapi.

Di Lembah Klang katil ICU pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai tahap maksimum, manakala Hospital Sungai Buloh mencapai 83% daripada kapasitinya.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor, Sabah dan Kelantan sehingga 26 Januari.

Sementara itu Malaysia terus merekodkan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19.

Setakat semalam, sebanyak 165,371 kes dilaporkan dengan jumlah kematian 619. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen