Putrajaya digesa benarkan Parlimen bersidang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata Parlimen masih terus menjalankan fungsinya walaupun darurat pernah diisytiharkan sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2021.

PUTRAJAYA mesti tarik semula perisytiharan darurat dan benarkan Parlimen segera bersidang, kata ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata Parlimen masih terus menjalankan fungsinya walaupun darurat pernah diisytiharkan sebelum ini.

“Muhyiddin perlu benarkan Parlimen bersidang pada 8 Mac seperti yang dijadualkan kerana selama 35 tahun Parlimen telah menjalankan fungsinya di bawah empat perdana menteri dari 1977 hingga 2012 walaupun empat perisytiharan darurat berlaku dalam tempoh tersebut,” kata Lim dalam satu kenyataan.

“Hanya sekali sahaja Parlimen digantung iaitu dari 1969 hingga 1971 susulan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Maria dalam satu kenyataan berasingan pula berkata penggantungan Parlimen hanya mengesahkan darurat diisytiharkan bertujuan politik.

“Ia bertujuan untuk mengekalkan kuasa perdana menteri dan Kabinet memandangkan mereka sudah menjadi kerajaan minoriti.”

Selasa lalu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat mulai 1 Ogos.

Pengumuman dibuat sewaktu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ditekan kalangan pemimpin Umno yang menarik sokongan ke atasnya dan menuntut pilihan raya diadakan segera.

Ia juga diumumkan sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan ke atas Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai 13 hingga 26 Januari. – 15 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen