Mampukah Malaysia keluar daripada krisis kepimpinan?


PERKEMBANGAN politik kali ini benar-benar mengecewakan rakyat.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin gagal menonjolkan kepimpinan yang diperlukan negara ketika krisis Covid-19 kian membimbangkan semua pihak. 

Kerajaan PN dalam keadaan “shutdown”.

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat sekali lagi membuktikan kerajaan ini tidak mempunyai idea dan perancangan yang tuntas untuk mengatasi krisis yang cukup luar biasa ini.  

Krisis kepimpinan dalam kerajaan makin hari makin serius.

Ternyata, kemenangan “27-0” semasa undian peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021, tidak memberi sebarang jaminan bahawa kerajaan Muhyiddin akan terus teguh untuk tahun ini. 

Kini, selepas kes Covid-19 meningkat lebih 3,000 kes sehari, perintah darurat pula dilaksanakan tanpa persediaan, perancangan dan perbincangan yang terbuka lebih awam bersama rakyat.

Persoalanya, sejauh manakah perintah darurat dan PKP mampu mengendurkan lekuk Covid-19? Adakah langkah ini juga dapat menyelesaikan krisis kepimpinan yang juga kian membimbangkan? 

Hala tuju yang salah

Kemerosotan prestasi dan kepimpinan kerajaan PN berpunca daripada hala tuju tadbir urus yang salah.

Isu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam membuat sesuatu keputusan dan pemberian maklumat merupakan masalah besar kerajaan PN. 

Kerajaan PN bersikap tertutup dan cuba mendominasi setiap keputusan yang dibuat tanpa memberi ruang perbincangan yang terbuka bersama ahli parlimen dan pimpinan negeri. 

Rakyat terpaksa menanggung beban pada saat yang getir ini berpunca daripada kelemahan tadbir urus kerajaan yang tidak konsisten. 

Sepatutnya kerajaan PN lebih bersedia membuat perancangan lebih awal selepas telah mengharungi cabaran krisis Covid-19 selama 11 bulan yang lalu. Tetapi, tindakan kerajaan hari ini kian dipersoalkan orang awam.  

Hakikatnya, perbincangan antara kerajaan dan ahli parlimen dalam membuat keputusan penting menguruskan pandemik bukanlah sesuatu yang asing dan sukar dilaksanakan.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis akan membawa usul ke parlimen bagi membahaskan perancangan mengatasi Covid-19 bersama ahli Parlimen pembangkang pada 15 Januari 2021.

Pihak pembangkang (gabungan parti SYIRZA) boleh mengemukakan cadangan menguruskan krisis dalam perbahasan tersebut, tanpa melakukan perbincangan tertutup yang tidak telus.

Begitu juga di United Kingdom. House of Common berseruju melanjutkan lockdown yang diusulkan kerajaan Konservatif pada 6 Januari 2021 dengan undian 524 ahli Parlimen menyokong dan 16 membantah.

Perbahasan lockdown ini mengambil tempat selepas kes kematian Covid-19 di UK semakin meningkat.

Pendekatan di Parlimen UK dan Greece begitu efektif.

Kerajaan dan pembangkang boleh membuat keputusan yang baik dan dapat membina keyakinan orang awam akan hala tuju negara berhadapan krisis Covid-19.

Apa seterusnya?

Hanya prinsip telus dan bertanggungjawab yang boleh menyelamatkan kerajaan PN.

Hanya diplomasi dan solidariti kerajaan PN untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk ahli Parlimen pembangkang, adalah kunci untuk mereka terus berfungsi sebagai kerajaan minoriti.  

Buat masa terdekat ini, kerajaan PN perlu memanggil sidang parlimen khas untuk memberi penjelasan dan membenarkan ahli Parlimen membahaskan cadangan mereka untuk menambahbaik pengurusan Covid-19.  

Perbahasan khas di parlimen ini begitu penting memandangkan kerajaan PN telah bersedia untuk membentangkan Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional tidak lama lagi.

Semestinya, kesemua 136 inisiatif dalam pelan strategik ini perlu diteliti dan dibahas oleh ahli parlimen agar pelaksanaan dasarnya mengambil kira kepentingan semua pihak.  

Bukan itu sahaja, Parlimen perlu membahas dan meluluskan Perbekalan Tambahan untuk membantu rakyat yang masih lagi memerlukan sokongan ekonomi.

Kerajaan seharusnya mempunyai pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi masalah ekonomi ketika darurat dan PKP. 

Kerajaan PN tidak sepatutnya melengahkan peruntukan penting ini seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini untuk meluluskan RUU berkaitan Covid-19.

Pendekatan ini akhirnya akan mengembalikan keyakinan rakyat untuk menyokong kepimpinan kerajaan memerangi Covid-19.

Ia lebih diterima ramai dan selamat jika dibandingkan pendekatan lama dan mengadakan pilihan raya mengejut yang masih belum memberi menjamin kestabilan politik kerajaan dan kes Covid-19 akan reda. 

Parlimen ialah denyut nadi rakyat. Jika kerajaan menggantung Parlimen, ia seolah-olah menghentikan harapan dan kehidupan rakyat untuk melihat wakil rakyat mereka menyuarakan pandangan kepada kerajaan demi membaiki kehidupan mereka yang sudah sedia tertekan. 

Sebab itu, kerajaan PN dan ketua negara harus memikirkan semula cadangan menggantung sidang Parlimen semasa darurat. 

Institusi Parlimen merupakan tempat yang paling tinggi untuk mengesahkan Malaysia masih dipimpin kerajaan berwibawa dan mempunyai hasrat yang besar untuk membina asas Malaysia yang lebih baik. – 13 Januari, 2021.

* Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (Refsa).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen