Kalau Umno mahu, Bersatu sedia putus, kata sumber


Kamles Kumar

Bersatu sedia putus hubungan dengan Umno kalau parti Melayu itu terus jadi duri dalam daging dalam kerajaan PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

BERSATU sedia putus hubungan dengan Umno kalau parti Melayu itu terus jadi duri dalam daging dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin kanan parti.

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memutuskan sekiranya Umno terus mencabar keadaan, dua parti itu akhirnya akan terpaksa berpisah, kata mereka selepas mesyuarat tiga jam di ibu pejabat parti malam tadi.

“Keputusan di tangan mereka (Umno). Kita sedia untuk putus hubungan dan ambil langkah berjaga-jaga sekiranya mereka tidak mahu bekerjasama dengan kita.

“Kita tidak terganggu dengan kerenah Umno ini,” kata seorang pemimpin Bersatu kepada The Malaysian Insight selepas mesyuarat malam tadi, dengan syarat tidak dinamakan.

Mesyuarat MPT Bersatu malam tadi dipengerusikan oleh presiden Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh pimpinan kanan parti antaranya timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu, naib presiden Ronald Kiandee, Mohd Radzi Md Jidin dan Mohd Rafiq Naizamohideen, serta ahli MPT lain termasuk Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Ia berlangsung serentak dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seorang lagi sumber memberitahu Bersatu siap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan tidak lama lagi, malah sudah mula menggerakkan jentera parti di akar umbi.

“Kami sedia kalau pilihan raya diadakan tidak lama lagi. Kami sedang berusaha untuk mengukuhkan PN kalau Umno tidak mahu menyertai gabungan ini,” katanya.

Mesyuarat MKT Umno malam tadi memutuskan untuk mengangkat usul menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang untuk dimuktamadkan di Perhimpunan Agung Umno 2020 pada hujung bulan ini.

Perhimpunan agung itu tertangguh sejak Oktober lalu susulan penularan pandemik Covid-19, yang meningkat selepas pilihan raya negeri Sabah pada hujung September.

MPT Bersatu bagaimanapun berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya wajar diadakan apabila perkembangan pandemik Covid-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal, kata ketua penerangan parti Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan malam tadi.

Mesyuarat MKT Umno malam tadi memutuskan untuk mengangkat usul menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

“Bersatu komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir ketika ini.

“Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya,” katanya.

Bersatu juga bertekad untuk terus mempertahankan kerjasama politik yang dipersetujui bersama parti dalam kerajaan PN ke arah penyatuan ummah dan perpaduan rakyat, katanya.

“Dalam konteks PN, Bersatu akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti-parti anggota Perikatan Nasional yang lain iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP),” katanya.

Umno dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan PN bersama Bersatu dan PAS, dan didukung oleh Gabungan Parti Sarawak dan beberapa ahli parlimen dari Sabah dan bebas, selepas percaturan politik yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada hujung Februari 2020.

Bersatu dan PAS kemudian mendaftarkan PN sebagai parti politik, yang diluluskan pendaftarannya pada Ogos lalu.

Wan Saiful berkata Bersatu menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang diwujudkan melalui PN dapat terus dihormati dan dipelihara.

“Bersatu memutuskan untuk memberi fokus terhadap pembinaan kekuatan parti melalui amalan politik khidmat dan politik prihatin, serta mengarahkan seluruh jentera untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Tambah Wan Saiful, mesyuarat MPT Bersatu juga setuju untuk parti menganjurkan siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkenaan isu semasa.

Hubungan Umno dan Bersatu tegang sejak awal penubuhan kerajaan PN, malah memuncak dari bulan ke bulan terutamanya sejak pertengahan Oktober lalu.

Umno mendakwa pimpinan kanannya diketepikan dalam pelantikan anggota Jemaah Menteri dan tidak pula diberikan portfolio kementerian yang berhubung secara langsung dengan rakyat.

Umno kemudian enggan menyertai PN yang dibentuk oleh Bersatu dan PAS serta dua parti di Sabah. Umno sebaliknya berkali-kali membuat kenyataan mahu mengukuhkan Muafakat Nasional, kerjasama yang dijalinnya dengan PAS pada September 2019 atas nama penyatuan ummah.

Pada Oktober lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa ada sokongan “kukuh dan menyakinkan” termasuk daripada kalangan Umno untuk membentuk kerajaan menggantikan Muhyiddin. Biro Politik Umno kemudian mendesak Bersatu untuk merundingkan semula syarat kerjasama politik mereka.

MKT Umno dalam dua mesyuaratnya selepas itu bagaimanapun kekal memutuskan untuk tetap menyokong kerajaan Muhyiddin dan PN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa menggugurkan Annuar Musa yang dianggap condong kepada Bersatu dan PN daripada jawatan setiausaha agung BN dan MN. Beliau diganti oleh setiausaha agung Umno Ahmad Maslan.

Pada sidang medianya semalam Annuar mendedahkan Zahid sebenarnya memang ada mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar sebagai perdana menteri dan sedia membentuk kerajaan dengan DAP.

Zahid juga didakwa berdolak dalik berhubung pendaftaran MN selain membiarkan pemimpin Umno terus membuat desakan agar Parlimen dibubar segera. – 7 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen