Annuar keliru dianggap pengkhianat


Bekas setiausaha agung BN Annuar Musa berkata terdapat pemimpin tertentu dalam parti yang mengadakan rundingan secara rahsia dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Januari, 2021.

BEKAS setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa hairan kerana dianggap pengkhianat apabila berpendirian menolak kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

Ini kerana pada masa sama terdapat pemimpin tertentu dalam parti yang mengadakan rundingan secara rahsia dengan Anwar dan DAP, katanya dalam sidang media hari ini.

“Saya keliru. Saya pertahan tiada DAP, tiada Anwar, pertahan (gabungan kerajaan) Perikatan Nasional, (tetapi) dianggap pengkhianat.

“Tapi ada yang sokong Anwar, yang senyap-senyap berunding malam-malam dengan DAP. Saya keliru sikit. Tapi tak apa, saya terima,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu tampil berdepan dengan pemberita sehari selepas dipecat dari jawatan setiausaha agung BN, yang menurutnya berlaku disebabkan pendiriannya itu.

Katanya, beliau tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai setiausaha agung apabila wujud sokongan rasmi kepada Anwar dan juga rundingan melibatkan DAP.

“Keputusan-keputusan parti seperti ‘tiada DAP, tiada Anwar’, sokongan ‘en-bloc’ kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, usaha berterusan untuk menggugat kestabilan kerajaan PN yang menyebabkan hubungan dengan PAS dan Bersatu terjejas.

Beliau membangkitkan mengenai bolak-balik dalam kepemimpinan BN dan kesamaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya lagi, beliau kecewa kerana para pemimpin parti tidak mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti dan bertelagah secara terbuka.

Ini menyebabkan keyakinan rakyat terhadap parti terhakis, katanya yang juga tidak senang apabila tuntutan untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya terus disuarakan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan semalam mengesahkan dilantik sebagai setiausaha agung BN baharu menggantikan Annuar. – 6 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen