Annuar dakwa Zahid tidak mahu Umno daftar Muafakat


Ravin Palanisamy

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan demikian pada mesyuarat parti yang diadakan November lalu, kata Annuar Musa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Januari, 2021.

UMNO tidak mahu mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) sebagai gabungan atas arahan presidennya Ahmad Zahid Hamidi, kata Annuar Musa.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata Zahid mengarahkan demikian kepada kepimpinan parti dalam mesyuarat Umno pada November tahun lalu.

“Kemudian pada November, bila kita nak masuk bincang tentang pendaftaran, kita diarahkan sekali lagi oleh presiden (Ahmad Zahid) supaya membawa usul dalam mesyuarat itu supaya (MN) tidak didaftarkan.

“Sampailah keputusan yang terakhir, mesyuarat paling terbaru, MN memutuskan tidak perlu MN didaftarkan. Ia kekal sebagai satu wadah permuafakatan untuk menggerakkan penyatuan dan perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

“Dan (oleh) kerana Umno buat keputusan bertanding atas logo BN, jadi pendaftaran MN dianggap sebagai tidak relevan,” kata Annuar pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh semalam dipecat dari jawatan setiausaha agung BN berikutan pandangannya didapati tidak selari dengan kepimpinan gabungan itu, kata sumber. Beliau digantikan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama politik dengan pembentukan MN pada September 2019, yang membawa agenda penyatuan orang Melayu dan Islam.  

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah minggu lalu dilaporkan berkata pendaftaran MN berdepan masalah kerana nama  itu sudah digunakan oleh pihak lain.

Amar dipetik Malaysiakini berkata nama MN sudah ada dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), maka nama lain perlu dipilih untuk didaftarkan.

Annuar pada sidang media hari ini menjelaskan keputusan untuk mendaftarkan MN sebagai sebuah gabungan politik diubah beberapa kali sejak Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

PAS katanya tetap mengusulkan supaya pendaftaran MN diteruskan.

“Secara jujurnya, mesyuarat terakhir PAS syorkan supaya ia didaftarkan, tapi Umno atas arahan presiden tidak mahu didaftarkan,” katanya. – 6 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen