Usul bahagian diangkat ke Perhimpunan Agung 31 Jan, kata Umno


Sebahagian daripada petugas media menunggu sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang diadakan di ibu pejabat parti itu di ibu negara malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Januari, 2021.

PERHIMPUNAN Agung Umno pada hujung bulan ini akan menentukan semua usul daripada mesyuarat bahagian, termasuk keputusan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.

Keputusan mengangkat usul-usul dari semua bahagian Umno yang bermesyuarat pada hujung minggu lalu itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini.

“Usul-usul ini menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa hadapan parti dan negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang tengah malam selepas mesyuarat MKT Umno yang dijadual bermula pada 8.30 malam tadi.

Jelas Shahril, usul-usul bahagian itu juga diangkat ke Perhimpunan Agung Umno selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti.

“Mesyuarat bersetuju untuk membawa usul-usul ini ke Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari 2021 ini bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan tersebut.”

Perhimpunan Agung Umno 2020 diadakan pada hujung bulan ini kerana ditangguhkan pada Oktober lalu susulan penularan pandemik Covid-19.

Selain memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15, bahagian-bahagian Umno juga mahu parti mempertahankan kerjasama dengan PAS, yang dibentuk atas nama Muafakat Nasional.

Mereka juga mendesak agar PRU15 diadakan sebelum hujung April ini, tertakluk kepada keadaan penularan Covid-19.

Menurut Shahril, mesyuarat MKT Umno malam ini memperhalusi semua usul berkenaan, yang diputuskan oleh 189 daripada 191 bahagian parti di seluruh negara.

Dua bahagian tidak bermesyuarat iaitu Tuaran, yang akan bersidang pada minggu ini, dan Tanah Merah, yang digantung sejak Jun 2020.

Mengenai kedudukan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa yang diganti oleh Ahmad Maslan semalam, Shahril berkata mesyuarat mengambil pertukaran jawatan yang kini digalas semula oleh Setiausaha Agung Umno.

“Perkara ini sudah mendapat persetujuan lisan presiden-presiden komponen dan akan diabsahkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat,” tambahnya.

Sementara itu, Shahril berkata Umno telah menggerakkan Skuad Sayang Wanita dan Skuad Sabil Pemuda untuk membantu mangsa banjir, termasuk dalam urusan selepas banjir, dan akan menambah kekuatan jentera parti.

Mesyuarat MKT Umno malam tadi juga bersetuju menubuhkan pasukan khas menangani bencana yang dipengerusikan oleh Shahidan Kassim, yang juga Ahli Parlimen Arau, bagi menyelaras gerak kerja bantuan kepada mangsa banjir, katanya. – 6 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen