Umno tidak perlu minta maaf dengan Bersatu, kata Shahril Hamdan


Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata tiada sebab untuk Asyraf Wajdi Dusuki meminta maaf kerana soal Bersatu mengambil ahli Umno memang sudah jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

UMNO tidak perlu minta maaf kerana mendedahkan Bersatu “membeli dan mencuri” ahli partinya kerana perkara itu jelas, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

Beliau mengulas desakan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang mahu Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menarik balik kenyataannya dan minta maaf kepada Bersatu kerana membuat “tuduhan liar tanpa bukti”.

“Tidak ada sebab untuk Dr Asyraf mohon maaf. Kerana soal PPBM mengambil ahli Umno ini sudah jelas.

“Kalau lihat di Parlimen, berapa peratus ahli Parlimen PPBM yang datang dari Umno? Kalau lihat di peringkat Bahagian, berapa ramai pimpinan bahagian yang datang dari Umno?

“Soal bayaran, habuan dan sebagainya – jika Dr Asyraf disaman di mahkamah, saya yakin beliau sedia mengemukakan buktinya,” katanya, dalam satu kenyataan.

Asyraf dalam satu kenyataan awal hari ini mendakwa Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli Umno yang menyertai parti itu, sementara cawangan yang ditubuhkan diberi peruntukan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Katanya, Bersatu mesti berhenti daripada “mencuri dan membeli” ahli Umno kalau mahu kerjasama antara dua parti itu diteruskan.

Wan Saiful kemudian menafikan dakwaan itu dan meminta Asyraf Wajdi menarik balik  kenyataannya dan meminta maaf kepada Bersatu.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki membuat 'tuduhan liar tanpa bukti'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

Shahril dalam pada itu menyeru ahli-ahli Umno untuk terus berusaha mengukuhkan parti agar tidak diperkotak-katik oleh parti lain. 

“Ada pihak yang akan sentiasa mahu melihat Umno lemah dan dilemahkan. Kita tak terkejut dengan senario itu, sebaliknya terus mencari jalan memastikan parti ini menjadi pilihan utama rakyat Melayu dan Malaysia amnya.

“Jika kita tak kuatkan parti, jika kita asyik bergaduh sesama sendiri, jika kita tak siapkan tawaran menarik untuk rakyat, maka kita tak boleh salahkan orang lain jika mereka memintas kita,” katanya.

Siapa Asyraf Wajdi, tanya Ashraf Mustaqim

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata realitinya orang Melayu memang sedang meninggalkan Umno kerana jelak dengan parti itu yang sudah lari dari perjuangan asalnya.

Katanya, Umno tidak lagi wajar mencanangkan bahawa ia parti dominan Melayu sedangkan ahlinya ramai semakin meninggalkan parti.

“Asyraf Wajdi perlu bertanggungjawab atas pengesahan beliau sendiri bahawa Umno bukan lagi pilihan orang Melayu,” katanya, dalam satu kenyataan.

Katanya, pemimpin Umno yang “mabuk kuasa” akan menjadikan Umno tidak lagi relevan dan pemimpin besar parti itu juga akan meninggalkan parti.

Dalam pada itu, Ashraf Mustaqim juga menuntut Asyraf Wajdi agar memohon maaf atas kenyataannya “demi kestabilan agenda pemerkasaan negara bangsa di bawah Perikatan Nasional”. – 2 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen