Berhenti 'curi dan beli' ahli Umno, kata Asyraf Wajdi kepada Bersatu


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli Umno yang menyertai parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

BERSATU mesti berhenti daripada “mencuri dan membeli” ahli Umno kalau mahu kerjasama antara dua parti itu diteruskan, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau mendakwa Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli Umno yang menyertai parti itu, sementara cawangan yang ditubuhkan diberi peruntukan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dengan ini berpendirian dan mendesak dihentikan segera sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama Umno dan Bersatu dalam Kerajaan Perikatan Nasional kini diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang mensasarkan 8,000 cawangan baru partinya dalam masa tiga bulan akan datang.

“Ketika suasana hubungan Umno-Bersatu di akar umbi semakin panas dan getir lantaran perebutan dan ‘kecurian’ ahli yang semakin menjadi-jadi, Setiausaha Agong Bersatu tidak wajar menambahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang membara,” kata Asyraf.

Jelas Asyraf, kegiatan Bersatu “mencuri dan membeli” ahli Umno itu diadu oleh ahli dan pemimpin Umno di akar umbi.

Dalam kenyataannya, Hamzah berkata Bersatu tidak memujuk ahli Umno untuk menyertai partinya sebaliknya parti itu terbuka kepada sesiapa saja, dan penyertaan mereka pun masih “di bawah satu bumbung dalam kerajaan Perikatan Nasional”.

Asyraf bagaimanapun menyifatkan sikap keterbukaan yang diumumkan oleh Hamzah akan menambah masalah dalam hubungan antara Umno dan Bersatu.

“Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli Umno jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar parti Perikatan Nasional diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan Umno,” katanya.

Beliau menyarankan agar Umno dan Bersatu berusaha mencari titik persamaan dan berhenti daripada melemahkan antara satu sama lain, “demi agenda penyatuan lebih besar.”

Asyraf mengingatkan pengalaman Umno dan PAS dalam kerjasama politik pada 1970-an selepas peristiwa 13 Mei 1969, ketika parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN) dan mengetuai kerajaan di Kelantan.

Katanya, perpecahan Umno dan PAS selepas itu menyebabkan dua parti terbesar orang Melayu bersengketa sehingga puluhan tahun.

Hubungan itu kembali pulih sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Umno dan PAS membentuk kerjasama atas nama Muafakat Nasional demi mengukuhkan kepentingan Melayu-Islam.

PAS bagaimanapun selepas itu bersama Bersatu menubuhkan PN, yang tidak disertai oleh Umno dan BN.

Umno dan BN sebaliknya mengambil pendirian menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga pilihan raya umum akan datang. – 2 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen