Tuduhan Asyraf Wajdi liar, kata Wan Saiful


Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan parti itu curi dan beli ahli Umno, mendesak tuduhan berkenaan ditarik balik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

TUDUHAN Bersatu “mencuri dan membeli” ahli Umno bersifat liar dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki wajar memohon maaf serta menarik balik kenyataannya, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

“Tindakan beliau menyebut ‘setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000’ tidak dapat diterima sama sekali.

“Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini.

“Saya menuntut Asyraf memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta merta,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan balas.

Wan Saiful berkata beliau akan berbincang dengan parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang berhubung tuduhan Asyraf.

Asyraf dalam satu kenyataan awal hari ini mendakwa Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli Umno yang menyertai parti itu, sementara cawangan yang ditubuhkan diberi peruntukan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Katanya, Bersatu mesti berhenti daripada “mencuri dan membeli” ahli Umno kalau mahu kerjasama antara dua parti itu diteruskan.

“Pemuda Umno Malaysia dengan ini berpendirian dan mendesak dihentikan segera sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama Umno dan Bersatu dalam Kerajaan Perikatan Nasional kini diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang mensasarkan 8,000 cawangan baru partinya dalam masa tiga bulan akan datang.

Menurutnya, kegiatan “mencuri dan membeli” ahli Umno itu diadu oleh ahli dan pemimpin Umno di akar umbi.

Dalam kenyataannya, Hamzah berkata Bersatu tidak memujuk ahli Umno untuk menyertai partinya sebaliknya parti itu terbuka kepada sesiapa saja, dan penyertaan mereka pun masih “di bawah satu bumbung dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN)”.

Asyraf bagaimanapun menyifatkan sikap keterbukaan yang diumumkan oleh Hamzah akan menambah masalah dalam hubungan antara Umno dan Bersatu.

“Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli Umno jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar parti PN diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan Umno,” katanya.

Beliau menyarankan agar Umno dan Bersatu berusaha mencari titik persamaan dan berhenti daripada melemahkan antara satu sama lain, “demi agenda penyatuan lebih besar”. – 2 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen