MAHKAMAH Mesir pada hari Selasa menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada seorang bekas pelajar kerana menganiaya dua wanita secara seksual.
Kes itu sebelum ini telah mencetuskan kemarahan di media sosial dengan tanda pagar #MeToo.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Ahmed Bassem Zaki, kerana didapati bersalah kerana mengganggu dua gadis melalui telefon, menghantar gambar seksual kepada salah seorang daripada mereka dan berulang kali menghubungi seorang lagi wanita tanpa izin wanita itu,” kata sumber mahkamah kepada AFP.
Tertuduh yang dikenali sebagai Zaki, berusia 20-an, bagaimanapun boleh melakukan rayuan terhadap keputusan itu, kata sumber itu lagi.
Dakwaan terhadap Zaki muncul dalam talian pada bulan Julai dalam bentuk keterangan daripada rakan sekelasnya melalui akaun Instagram “Polis Serangan”, termasuk dakwaan rogol dan beberapa serangan terhadap gadis dan wanita.
Beberapa kejadian yang didakwa turut melibatkan kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun.
Zaki, bekas pelajar sekolah elit di Mesir dan Universiti Amerika di Kaherah, ditangkap pada 4 Julai dan mengaku menyerang dan mengugut enam pengadu, salah satu daripada mereka merupakan seorang remaja bawah umur.
Dia akan dihadapkan ke mahkamah jenayah pada 9 Januari depan atas tuduhan menyerang secara seksual tiga gadis bawah umur dan cuba mengugut mereka.
Kes tersebut telah mencetuskan kempen #MeToo di Mesir, di mana wanita mengadu gangguan seksual, yang merupakan kesalahan jenayah di negara itu sejak 2014. – Bernama, 29 Disember, 2020.
Komen