PENERBIT filem Harvey Weinstein pada Jumaat didakwa melakukan serangan seksual terhadap wanita ketiga, lapor Jakarta Post hari ini.
Weinstein yang berusia 68 tahun sebelum ini dipenjarakan di New York selepas dijatuhkan hukuman penjara 23 tahun kerana merogol dan melakukan serangan seksual terhadap dua orang wanita.
Tuduhan baharu itu sedang diusahakan untuk dibicarakan bersama perbicaraan di Los Angeles atas tuduhan menyerang beberapa orang wanita.
“Kami sedang perkuatkan kes ini,” kata pendakwaraya Los Angeles, Jackie Lacey.
“Jika kita mendapati bukti baru jenayah yang tidak dilaporkan sebelumnya, seperti yang kita lakukan hari ini, kita akan siasat dan tentukan sama ada pertuduhan jenayah tambahan perlu difailkan,” katanya.
Tuduhan baru itu mendakwa Weinstein melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di Beverly Hills pada bulan Mei 2010.
Dia juga turut didakwa merogol dan menyerang secara seksual dua wanita lain dua malam berturut-turut pada tahun 2013.
Dua kes tambahan di Los Angeles terhadap Weinstein kini tidak lagi dibicarakan kerana mereka yang menuduh tidak mahu memberi keterangan.
Pendakwa raya Los Angeles mengesahkan pada hari Jumaat bahawa mereka kini sedang berusaha untuk pemindahan Weinstein.
“Bila dia hadir nanti, dia akan mendengar tentang dakwaan yang telah dipinda. Apabila tarikh perbicaraan ditetapkan, orang ramai akan diberitahu,” kata kenyataan itu. – 11 April, 2020.
Komen