PELAKON filem “The Sopranos”, Annabella Sciorra mangalirkan air mata ketika beliau memberi keterangan kepada mahkamah mendakwa dirinya diperkosa Harvey Weinstein.
Akibat perbuatan Weinstein itu, Sciorra mengatakan dirinya mengalami “kemurungan” sehingga menyebabkan beliau membahayakan diri sendiri.
Dalam keterangan beremosi itu, Sciorra menjelaskan bagaimana lelaki itu masuk ke rumahnya di New York ketika lewat malam pada awal tahun 1990-an dan menyerang beliau ketika sedang memakai baju tidur.
“Ia sangat menjijikkan sehingga tubuh saya terketar-ketar dengan cara yang pelik, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika itu,” kata aktres berusia 59 tahun tersebut.
Sciorra memberi keterangan di hadapan juri dengan menunjukkan bagaimana Harvey memegang tangan dan menariknya ke atas kepalanya dan mencengkam pergelangan tangannya.
Menurut Sciorra, ketika kejadian taikun dunia perfileman itu memiliki berat tiga kali berat badannya, Harvey kemudian merebahkannya di atas katil dan menyerangnya secara seksual.
“Dia tindih saya dan rogol saya,” katanya ketika disoal oleh peguam pendakwa utama, Joan Illuzzi-Orbon.
“Dia kemudian memasukkan zakarnya di dalam vagina saya dan dia merogol saya,” ulang Sciorra, saksi pertama yang memberi keterangan dalam pertuduhan ke atas Weinstein.
Weinstein, 67, mengelak daripada memandang Sciorra ketika beliau memberitahu mahkamah New York bahawa bekas pengeluar filem itu kemudian melakukan seks oral terhadapnya.
“Saya tidak lagi mampu melawan ketika itu, badan saya jadi kaku,” kata Sciorra lagi.
Weinstein mengaku tidak bersalah atas serangan seksual bekas pembantu produksi Mimi Haleyi dan merogol pelakon Jessica Mann. Dia menafikan semua tuduhan seks yang tidak konsensual.
Sciorra, yang terkenal dengan lakonannya sebagai Gloria Trillo dalam drama “The Sopranos,” memberikan bukti untuk menyokong kes pendakwaan bahawa Weinstein adalah pemangsa seksual kerjaya.
Jika Weinstein didapati bersalah, dia bakal menghadapi hukuman penjara seumur hidup. – AFP, 25 Januari, 2020.
Komen