PELAKON Cuba Gooding Jr akan dibicarakan pada 21 April kerana mencabul tiga wanita, putus seorang hakim semalam, kes terbaru #MeToo yang dibicarakan.
Pelakon berusia 52 tahun itu didakwa mencabul seorang wanita di sebuah restoran di Manhattan pada September 2018.
Beliau juga dituduh mencabul seorang lagi wanita di sebuah kelab malam bulan seterusnya dan meraba buah dada seorang wanita tanpa kebenaran di New York pada Jun 2019.
Gooding, yang menang anugerah Oscar untuk pelakon pembantu pada 1997 menerusi filem Jerry Maguire”, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan ke atasnya, dengan tiga pertuduhan utama setiap satu membawa hukuman setahun penjara.
Hakim Curtis Farber di Mahkamah Agung New York juga membuat penghakiman bahawa pendakwaan boleh memanggil dua wanita lain sebagai saksi.
Mereka juga mendakwa menjadi mangsa cabul Gooding, walaupun dakwaan itu tidak menjadi prosiding jenayah.
Farber bagaimanapun menolak permohonan Pendakwa Raya Manhattan Cyrus Vance untuk memanggil 17 lagi wanita memberi keterangan bagi mengelak “prejudis” terhadap Gooding.
Pelakon itu yang juga dikenali menerusi filem Boyz n the Hood pada 1991 dan memainkan watak OJ Simpson dalam drama American Crime Story pada 2016.
Perbicaraan Gooding adalah kes ketiga berprofil tinggi yang berlaku susulan pergerakan #MeToo tahun ini, dua lagi adalah perbicaraan kes Harvey Weinstein di New York yang sedang berlangsung kini dan penyanyi R Kelly di Chicago yang juga bermula April depan. – AFP, 23 Januari, 2020.
Komen