Usaha keras atau latar belakang keluarga, mana satu penentu kejayaan belia?


Kamles Kumar

Pakar ekonomi berbeza pendapat mengenai pendorong kejayaan belia, sama ada usaha keras dan pendidikan tinggi atau latar belakang keluarga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

KETEKUNAN dan usaha keras tidak akan mendorong anak muda Malaysia mendaki tangga mobiliti sosial, terutamanya ketika pandemik Covid-19, kata seorang pakar ekonomi.

Sebaliknya, kejayaan seseorang itu didorong oleh latar belakang keluarganya, kata Pengarah Urusan DM Analytics Muhammed Abdul Khalid.

Pandangan itu bagaimanapun disangkal oleh Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian, yang berkata tinjauan badan kaji selidik bebas itu mendapati anak muda negara ini lebih mengutamakan usaha keras dan pendidikan tinggi.

Bercakap pada forum mengenai belia dan mobiliti sosial pada Rabu lalu, Ibrahim memulakan perbincangan dengan mendedahkan hasil tinjauan Merdeka Centre baru-baru ini.

Menurutnya, tinjauan mendapati 74% rakyat Malaysia percaya bakat dan usaha keras amat membantu dalam mencorakkan masa depan mereka tanpa mengira latar belakang keluarga.

Ibrahim juga berkata 57% responden berpendapat mereka menjalani kehidupan lebih baik berbanding ibu bapa mereka kerana berpendidikan tinggi.

“Majoriti (57%) berasakan mereka boleh lakukan jauh lebih baik daripada ibu bapa mereka, kecuali memiliki rumah kerana harga yang meningkat. Kerana mereka berpendidikan tinggi dan mempunyai lebih banyak kemahiran,” katanya.

Kejayaan seseorang itu didorong oleh latar belakang keluarganya, kata Pengarah Urusan DM Analytics Muhammed Abdul Khalid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

Mobiliti sosial adalah proses perubahan atau pergerakan seseorang atau kelompok daripada satu kedudukan kepada kedudukan yang lain dalam sesebuah masyarakat.

Muhammed bagaimanapun berkata kajian yang dijalankan oleh DM Analytics pada 2017 pula menunjukkan sebaliknya.

Katanya, walau usaha keras sering diulang-ulang oleh generasi terdahulu, namun bagi anak muda kini, mobiliti sosial bergantung kepada latar belakang dan status keluarga.

“Walaupun tinjauan Merdeka Centre mendapati belia berkata mereka akan berjaya kerana usaha keras, tetapi malang sekali, kami ada buat tinjauan pada 2017.

“Dahulu, ya, orang-orang dari generasi saya… bagi mereka, status keluarga tidak penting, tetapi anda tidak akan beranjak terus ke atas.

“Yang kaya tetap kaya, terutamanya jika anda orang Cina. Jika anda orang Cina, lahir dalam keluarga kaya, peluang anda juga kaya 50%.

“Usaha keras sedikit saja, yang penting lahir dalam keluarga kaya,” katanya.

Penasihat ekonomi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu seterusnya berkata fenomena ini dapat dilihat di negara-negara maju di mana terdapat halangan untuk seseorang beralih dari status ke satu status.

“Kita sering kali melihat seluruh dunia seperti di China, Itali, Amerika dan United Kingdom. Kelahiran memainkan peranan besar, jadi modal sosial itu penting. Anda berusaha keras tetapi sukar untuk naik.

“Sistem yang kita ada, cukai dan pendidikan, tidak akan membantu anda beranjak dan Covid-19 lebih memburukkannya. Kalau anda fikir anda mendaki jauh ke atas, anda silap, anda perlu fikirkan semula melainkan kita berubah,” jelas Muhammed.

Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata tinjauan mendapati anak muda negara ini lebih mengutamakan usaha keras dan pendidikan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

Ibrahim bagaimanapun membidas, dan berkata kebanyakan orang Cina yang ditinjau berasakan mereka telah melakukan jauh lebih baik daripada ibu bapa mereka, tanpa mengira latar belakang keluarga.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia menilai diri mereka berdasarkan kepada pencapaian diri sendiri, bukan kerana latar belakang keluarga.

“Apabila ditanya jika mereka jauh lebih baik berbanding ibu bapa, tiada beza antara kumpulan etnik. Malah, orang Cina berpendapat mereka jauh lebih baik daripada ibu bapa mereka (81%),” kata Ibrahim.

Beliau bagaimanapun berkata rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, mahukan tindakan afirmatif dan polisi berasaskan kaum diteruskan walaupun sudah memasuki abad ke-21.

“Daripada tinjauan kami, 90% responden Bumiputera mahu polisi berasaskan kaum dan keistimewaan kepada orang Melayu diteruskan, ramai yang mahukan begitu.

“Ini adalah kesan daripada politik selama bertahun-tahun dahulu yang mengaitkan dasar ekonomi dan etnik,” jelas Ibrahim. – 25 Disember, 2020.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen