Ibu bapa belah bahagi hantar atau tidak anak ke sekolah 2021


Aminah Farid

Rata-rata ibu bapa bimbang sama ada sekolah akan mengenakan SOP yang ketat bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka dari Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020.

IBU bapa berbelah bahagi sama ada menghantar anak kembali ke sekolah tahun depan sebaik saja ia dibuka pada 20 Januari atau tidak, selepas hampir sepanjang tahun sekolah ditutup.

Kebimbangan utama ibu bapa ialah sama ada sekolah akan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan keselamatan anak daripada Covid-19, di mana pandemik itu tidak menunjukkan tanda akan berakhir pada masa terdekat.

Malaysia mencecah kadar jangkitan enam angka selepas 2,062 kes baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 97,389 sementara kematian meningkat ke 439.

Khaled Emdad, bapa kepada empat anak dari Subang Jaya, Selangor berkata beliau akan terus mengajar anak di rumah atau mendaftarkan mereka ke pusat tuisyen jika beliau tidak yakin dengan keadaan semasa.

“Perkara ini bukan tentang ia minggu depan, bulan atau tahun depan, ia tentang keselamatan anak.

“Saya perlu yakin 100% tidak ada risiko jangkitan di sekolah dan langkah pencegahan ketat dikuatkuasakan.

“Tiada ibu bapa yang selesa hantar anak kembali ke sekolah. Langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan semua orang selamat, dan mengurangkan kontak langsung,” katanya.

Nurul Zulkifli, yang mempunyai dua anak, seorang bakal naik Tahun Satu sementara seorang lagi pra sekolah, berkata beliau bimbang anaknya tidak akan dapat mematuhi SOP, di mana ia mungkin menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan virus itu.

“Separuh bimbang, separuh teruja. Anak sulung saya akan masuk ke Tahun Satu dan yang bongsu ke pra sekolah.

“Saya bimbang anak tidak dapat ikut SOP dan akan bergaul bebas dengan kanak-kanak lain.

“Kebersihan diri isu utama dan saya akan perlu tanamkan perkara ini kepada mereka,” kata Nurul.

Katanya, beliau turut mempertimbangkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah buat masa ini.

“Malah, kami merancang untuk belikan mereka komputer riba yang boleh digunakan untuk kelas secara atas talian.

“Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac, guru menghantar kerja rumah dan latihan menerusi atas talian.

“Jadi kami melihat kemungkinan sekolah tidak dibuka dan sukatan baharu akan dijalankan secara atas talian,” katanya. – 24 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen