Gagal patuhi SOP punca lonjakan kes Covid-19, kata pakar kesihatan


Kamles Kumar

Pakar kesihatan berkata rakyat Malaysia sukar mematuhi SOP Covid-19 kerana kurang celik terhadap isu kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2020.

GAGAL mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca lonjakan kes Covid-19 di Malaysia sejak tiga bulan yang lalu, selepas sifar kes bagi penularan tempatan direkodkan pada Julai, kata pakar perubatan.

Mereka juga berkata jumlah jangkitan yang tinggi di Sabah menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas perubatan dibebani tugas di luar kemampuan.

Apabila lonjakan kes sukar ditangani, proses pengesanan kontak tidak dapat dilakukan secara menyeluruh, sehingga tercetus kluster-kluster baharu di seluruh negara, tambah mereka.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye memberitahu The Malaysian Insight, sikap rakyat yang tidak patuh kepada SOP ketika kes meningkat menyukarkan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Jika diimbas semula apa yang telah berlaku, ia berpunca dari kegagalan mengekang wabak di Sabah selepas pilihan raya negeri pada September. Wabak menular ke seluruh negeri, lalu ke Semenanjung.

“Kemudian sudah tentu kluster pula tercetus. Diikuti pula kegagalan menangani penularan membabitkan penjara dan pekerja asing.

“Jika penjara dan pusat tahanan mematuhi SOP, kes tidak akan meningkat begitu banyak sekali,” kata Dr Lee.

Menurut ahli Parlimen Gopeng itu lagi, jumlah kes dapat dikurangkan dengan cepat sekiranya semua pihak terutamanya pihak berkuasa seperti Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen mematuhi SOP.

“Walaupun berlaku penularan, ia dapat dikawal. Di penjara misalnya, sepatutnya ada kawalan, malah aktiviti dalam penjara juga diawasi. Penjara gagal mematuhi SOP,” katanya.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, sikap rakyat yang tidak patuh kepada SOP ketika kes meningkat menyukarkan usaha membendung penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2020.

Selepas berjaya merekodkan sifar kes bagi penularan tempatan pada Julai, angka jangkitan melonjak semula pada September. Kerajaan berkata peningkatan kes berpunca dari pendatang asing tanpa izin yang membolosi sempadan negara.

Jumlah kes memuncak selepas pilihan raya negeri Sabah pada 26 September lalu. Rakyat menyalahkan pemimpin yang berulang-alik ke Sabah sebagai jangkitan merebak sehingga ke Semenanjung.

Jangkitan Covid-19 terus meningkat sejak tiga bulan lalu dan pakar meramalkan jumlah kes akan mencecah angka 100,000 dalam temph beberapa hari lagi.

Semalam sahaja sebanyak 2,062 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia kini 97,389. Manakala jumlah kematian 439 kes.

Lee berkata, peningkatan jumlah kes harian menyebabkan sistem kesihatan termasuk petugas perubatan bergelut untuk membendung pandemik Covid-19.

“Sistem kesihatan kita menerima tekanan hebat. Hospital kerajaan dan kakitangan sangat terbeban.

“Sebelum ini, mereka dapat menangani gelombang pertama dan kedua, kemudian gelombang demi gelombang sehingga merisikokan seluruh sistem,” jelasnya.

Menurut ahli Parlimen PKR itu, apabila sistem kesihatan terlalu dibebani, proses pengesanan kontak tidak lagi cekap seperti sebelum ini (sebelum gelombang ketiga).

“Kita mesti mempunyai kemampuan mencukupi untuk menjalankan pengesanan kontak. Pengesanan perlu dijalankan dalam tempoh 48 jam, kerana ketika inilah risiko jangkitan dapat dikawal.

“Sekarang setiap hari ada kluster baharu. Ini bermakna ada kes lewat dikesan dan punca kes tidak dapat dikenal pasti, jadi dikelaskan sebagai kluster baharu,” kata Dr Lee.

Kurang celik isu kesihatan

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berpendapat SOP gagal dipatuhi kerana rakyat Malaysia kurang celik terhadap isu kesihatan.

“Kita perlu tingkatkan tahap pematuhan SOP, walaupun sudah ada vaksin nanti.

“Bagaimanapun, masalah utamanya ialah tahap kesedaran masyarakat kita masih rendah, seperti yang disebut dalam laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi,” Azrul memberitahu The Malaysian Insight.

Tinjauan mendapati satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia kurang keupayaan mencari, memahami dan menggunakan maklumat kesihatan dan perkhidmatan dalam membuat keputusan kesihatan setiap hari.

Inilah sebabnya mengapa masih ada rakyat Malaysia yang ingar SOP sekatan pergerakan walaupun kerajaan mengenakan hukuman berat.

“Tidak kira apa pun sekatan yang dilaksanakan, atau amaran atau denda yang kerajaan kenakan, orang ramai cenderung untuk tidak mematuhi SOP, terutamanya apabila berada bersama keluarga, rakan malah rakan sepejabat,” katanya. – 23 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen