Anwar perlu berubah untuk kekal relevan, kata ahli Parlimen, penganalisis


Kamles Kumar

DAP dan Amanah juga tahu PKR tidak mempunyai pemimpin selain Anwar Ibrahim untuk membawa pembangkang melawan PN dalam pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2020.

ANWAR Ibrahim tetap akan menjadi tokoh utama pembangkang namun presiden PKR itu kekurangan masa untuk meletakkan dirinya sebagai seorang yang relevan dengan perjuangan semasa, kata orang dalam parti dan penganalisis.

Beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memberitahu The Malaysian Insight Anwar masih merupakan pilihan utama untuk memimpin pakatan itu kerana tidak ada orang lain dalam pembangkang yang mampu menggantikannya.

“Sudah tentu, saya masih percaya Anwar orang yang sesuai untuk memimpin.

“Dengan menyingkirkannya, secara mudahnya semacam bertindak sebagai pemain pengganti dalam Langkah Sheraton sebab itulah niat asal mereka (untuk menjatuhkan Anwar),” kata seorang pemimpin PKR kepada The Malaysian Insight yang tidak ingin namanya disiarkan.

Pemimpin PKR itu merujuk kepada rampasan kuasa oleh Muhyiddin Yassin yang memimpin Bersatu bersama Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH pada Februari lalu.

Katanya, walaupun dalam PKR, tidak ada orang lain yang boleh memimpin sekiranya Anwar meletak jawatan kerana pemimpin peringkat kedua tidak bersedia untuk memegang jawatan itu.

“Tidak ada pemimpin di dalam PKR seperti Anwar yang dapat meraih hormat sepertinya,” kata sumber PKR.

Bagaimanapun, ahli Parlimen DAP dan Amanah merasakan Anwar perlu ada rancangan yang mantap supaya pembangkang dapat maju setelah keserabutan Belanjawan 2021 selain dakwaannya mempunyai jumlah kerusi untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN).

“Anwar perlu ada rancangan. Ramai orang hilang kepercayaan dengannya setelah apa yang berlaku sejak beberapa bulan ini,” kata sumber lain.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, Anwar yang bersekutu dengan Umno memudaratkan beberapa pihak dalam PH yang menentang keras sebarang kerjasama dengan parti itu yang dilihat sebagai musuh tradisi mereka.

“Dia patut berhenti daripada menggoda Umno dan fokus kepada membangunkan kembali pembangkang. Kalau ada pilihan raya, kita sama sekali tak bersedia,” kata sumber itu.

Yang lebih menaikkan kemarahan pemimpin DAP adalah kejadian pada Khamis lepas di mana Anwar didakwa masuk ke ruang rehat ahli Parlimen untuk mengejek Senator DAP Liew Chin Tong kerana dituduh membantu menghasilkan kenyataan bersama DAP dan Amanah.

“Anwar mengejek Liew kerana menganggap dia adalah orang yang menyusun kenyataan itu tetapi dia tidak tahu apa-apa,” kata sumber.

The Malaysian Insight telah cuba menghubungi Liew untuk mendapatkan komen namun tidak berjaya.

Pada pagi Khamis, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama mendesak untuk menyusun semula pembangkang dan memberi isyarat kepada Anwar supaya berhenti berunding dengan ahli Parlimen kerajaan.

Antara lain adalah untuk membaiki hubungan dengan ahli parlimen dari Warisan dan Pejuang, yang memilih menentang Belanjawan 2021 dengan PH dalam pengundian belanjawan pada hari sebelumnya di Dewan Rakyat.

Selepas kenyataan itu dikeluarkan, mesyuarat ahli parlimen PH yang sepatutnya diadakan pada hari itu juga dibatalkan kerana Anwar sangat marah atas pendirian rakan sekutunya.

“Mesyuarat dibatalkan setelah kenyataan itu. Tidak wajar para pemimpin mengeluarkan kenyataan seperti itu tanpa kata sepakat,” kata sumber PKR kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pemimpin DAP dan Amanah merasakan kenyataan itu masih selari dengan pendirian PH memandangkan ia bertujuan untuk mengingatkan kembali pendirian pembangkang setelah pembentangan Belanjawan 2021.

“Anwar tak dapat kawal kemarahannya. Sebenarnya kami hanya mahu dia menjadi pemimpin pembangkang yang baik dan tidak memecah-belahkan pembangkang,” kata sumber.

Menurut penganalisis, Anwar masih kekal sebagai pemain utama dalam pembangkang namun beliau harus berpijak di bumi nyata untuk terus kekal relevan.

Profesor Kajian Asia Universiti Tasmania, James Chin berkata, antara Anwar dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, pemimpin PKR itu nampaknya yang akan sentiasa kekal sebagai ketua pembangkang.

“Ini adalah tentang bagaimana menyusun kembali Anwar sehingga dia dapat balik kredibilitinya. Kalau kamu tengok pembangkang, orang yang kamu akan nampak ialah Anwar dan Dr Mahathir.

“Saya rasa Anwar tak cukup masa untuk mendapatkan kembali kredibilitinya. Satu-satunya peluang baginya untuk menjatuhkan Muhyiddin adalah selepas perayaan Tahun Baru Cina tahun depan.

“Dia patut merancang dengan baik. Ini bukan perkara mudah, tetapi dia mempunyai kemahiran politik,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Katanya, DAP dan Amanah juga tahu PKR tidak mempunyai pemimpin lain selain Anwar untuk membawa pembangkang melawan PN dalam pilihan raya akan datang.

“Kepimpinan DAP dan Amanah akan berusaha mencari jalan keluar. Sekiranya mereka menekan Anwar sangat, mereka tidak akan dapat cari pengganti lain.

“Kedua parti itu sedar tidak ada seorang pun dalam PKR yang mampu mengambil alih Anwar,” katanya.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun bersetuju dengan berkata, Anwar masih kekal sebagai pemimpin pembangkang kerana pesaing terdekat untuk jawatan itu adalah Mohd Shafie Apdal dari Warisan yang tidak popular seperti Anwar.

“Dia (Anwar) dapat bertahan sebagai pembangkang secara sendiri sehingga mereka mencari alternatif yang boleh dipercayai iaitu Shafie,” katanya.

Oh juga berkata, walaupun Anwar tidak disukai dalam PH, beliau berperanan sebagai pemimpin untuk menyatukan pembangkang menentang pemerintah PN yang berkuasa.

“Anwar tidak pernah mempunyai niat baik dengan sesiapa pun kecuali penyokong tegarnya. Oleh kerana wataknya yang berubah-ubah, dia selalu menjadi pilihan mudah untuk mengajak mereka dengan ideologi menentang gabungan kerajaan.

“Kecuali jika DAP dan Amanah dapat menaikkan seseorang dengan perwatakan politik yang serupa seperti Anwar, mereka masih tetap akan bersamanya, kerana Dr Mahathir nampaknya sudah berpisah dengan PH,” tambah Oh. – 19 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen