Ungku Aziz, 98, meninggal dunia


Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Prince Court di Kuala Lumpur petang tadi. – Gambar Facebook, 15 Disember, 2020.

PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia petang ini, dua bulan selepas dirawat di hospital kerana pelbagai penyakit.

Ungku Abdul Aziz, 98, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Prince Court di Kuala Lumpur.

Isterinya Rohayah Ahmad Bahiran dipetik Astro Awani berkata jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail untuk disempurnakan sebelum dikebumi pada malam ini.

Isteri pertamanya, tokoh budaya Azah Aziz meninggal dunia pada 9 Julai 2012. Satu-satunya anak mereka, Zeti Akhtar adalah bekas Gabenor Bank Negara.

Ungku Abdul Aziz adalah tokoh utama di sebalik banyak dasar pembangunan ekonomi negara, terutama usaha pembetulan melibatkan isu-isu yang menyentuh soal kemiskinan desa.

Hasil renungannya mencetuskan antara idea yang membawa kepada penubuhan Lembaga Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa).

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya antara 1968 hingga 1988 itu adalah juga satu-satunya ahli akademik yang menerima gelaran tertinggi akademik Malaysia iaitu Profesor Diraja yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1978.

Sebagai ahli akademik, Ungku Abdul Aziz gigih mengetengahkan semula pemikiran Pendeta Za’ba mengenai kemiskinan orang Melayu terutamanya tulisan tokoh bahasa itu yang bertajuk Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.

Beliau mengupas pemikiran Za’ba itu dalam bukunya bertajuk Jejak-Jejak di Pantai Zaman, yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada 1975.

Selain isu-isu ekonomi, Ungku Abdul Aziz sangat cintakan pantun, yang beliau anggap sebagai pengucapan pemikiran orang Melayu yang indah dan tinggi. 

Semasa diberi peluang menyampaikan Syarahan Raja Ali Haji di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Disember 2009, Ungku Abdul Aziz mengupas subjek itu dengan tajuk Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. – 15 Disember, 2020. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen