Penduduk TTDI tiada locus standi, kata peguam


Noel Achariam

Peguam Cecil Abraham mewakili Malton Bhd dan Yayasan Wilayah Persekutuan berkata penduduk TTDI tidak memiliki locus standi untuk membantah pembangunan di Taman Rimba Kiara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

MAHKAMAH Rayuan hari ini diberitahu penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tidak memiliki locus standi untuk membantah pembangunan di Taman Rimba Kiara.

Peguam Cecil Abraham mewakili Malton Bhd dan Yayasan Wilayah Persekutuan berkata ini kerana penduduk bukanlah pemilik tanah bersebelahan dengan tapak pembangunan.

“Sesetengah daripada mereka yang bukan pemilik tanah telah menghadiri pendengaran awam (ke atas projek yang dicadangkan), tetapi tidak bermakna mereka mempunyai locus standi,” katanya di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Sekumpulan penduduk TTDI di bawah kumpulan Save Taman Rimba merayu keputusan mahkamah yang mengenepikan permohonan semakan kehakiman bagi kelulusan Dewan Bandararaya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Projek tersebut merangkumi sembilan blok apartment yang dibangunkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, dengan Memang Perkasa Sdn Bhd. Memang Perkasa adalah anak syarikat Malton Bhd.

“Alasan mengapa mereka tidak memiliki locus standi kerana mereka bukan pemilik tanah bersebelahan dan bukan mereka yang terjejas.

“Taman Rimba Kiara bukan sebuah taman awam kerana ia tidak diwartakan. Ramai orang dari kawasan lain juga datang ke taman itu, jadi ini tidak bermakna mereka mempunyai locus standi.”  – 7 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen