Kes Taman Rimba Kiara, penduduk TTDI berang DBKL upah Sri Ram


Bede Hong

Penduduk TTDI membantah projek pembinaan sembilan menara kondominium mewah dan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk penduduk rumah panjang di kawasan hijau Bukit Kiara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2019.

PENDUDUK Taman Tun Dr Ismail (TTDI) berang dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendapatkan khidmat peguam terkenal Gopal Sri Ram untuk melindung kepentingannya dalam kes pembangunan Taman Rimba Kiara (TRK).

Bekas hakim itu amat dikenali dengan bayaran yang mahal atas perkhidmatannya dan kemungkinan besar DBKL akan menggunakan dana awam dan duit pembayar cukai bagi menanggung kos itu.

Buletin Kumpulan Selamatkan Taman Rimba Kiara menyebarkan berita itu dalam media sosial sejak beberapa hari lalu dan penduduk tidak gembira dengan pelantikan peguam itu untuk mengendalikan kes itu bagi menentang mereka.

“Kita disoal sama ada perlu bimbang dengan tindakan Sri Ram menjadi peguam DBKL,” kata satu hantaran.

“Ia pertembungan antara peguam Cecil Abraham bersama Sri Ram ditambah lagi dana tidak terhad dari Malton Berhad dan DBKL menentang Prof Gurdial Singh dan penduduk TTDI yang miskin,” balas seorang responden.

Kes ini melibatkan rayuan yang difailkan oleh penduduk TTDI ke Mahkamah Rayuan bagi menarik semula keputusan sebuah mahkamah rendah yang menolak permohonan untuk mengkaji semula keputusan yang meluluskan pembangunan TRK.

Penduduk TTDI mendakwa Gopal Sri Ram menerima bayaran lumayan daripada DBKL untuk mengendalikan kes menentang saman penduduk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2019.

Penduduk TTDI menentang pembinaan sembilan blok pangsapuri yang melibatkan kerjasama antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd.

DBKL meluluskan projek itu pada 2014 walaupun penduduk mendakwa ia akan memusnahkan kawasan hutan seluas 25 ekar.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sudah berunding untuk mengurangkan pembinaan projek itu kepada empat buah pangsapuri dan 204 rumah mampu milik, tetapi kebanyakan penduduk menolak tawaran itu.

Kini penduduk bimbang dengan tindakan DBKL mengupah peguam terkenal yang mampu menewaskan mereka di mahkamah.

Sri Ram mengetuai peguam untuk DBKL dan hadir pada pendengaran awal kes itu pada Jumaat lalu.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu juga kini mengetuai pendakwaraya dalam dua kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Tiba-tiba saja beliau (Sri Ram) muncul,” kata penyelaras media Kumpulan Selamatkan Taman Rimba Kiara Khairudin Rahim.

Khalid Samad sudah berunding untuk mengurangkan pembinaan projek itu kepada empat buah pangsapuri dan 204 rumah mampu milik, tetapi kebanyakan penduduk menolak tawaran itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2019.

“Tiada siapa tahu tentang pelantikannya sehingga baru-baru ini. Amat pelik kerana seorang yang berkaliber melakukannya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata ramai penduduk tahu bahawa Sri Ram menerima bayaran yang lumayan untuk mengendalikan kes itu.

“Satu soalan untuk Khalid… kenapa DBKL tidak menggunakan peguam dari Pejabat Peguam Negara,” soalnya.

“Penduduk marah dengan khidmat Gapal Sri Ram sebagai peguam DBKL bagi menentang saman TRK. Bukan kerana mereka bimbang GSR memihak kepada DBKL.

“Sepatutnya GSR perlu dikerah oleh kerajaan untuk mengendalikan kes yang berkepentingan negara seperti mendakwa kleptokrat dan pencuri berbilion dana awam.

“Sebaliknya, wang rakyat digunakan untuk mengupah GSR bagi melawan pengundi?” kata hantaran dalam buletin kumpulan itu.

Pendengaran penuh untuk rayuan ditetapkan pada 15 Januari 2020. – 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen