18 filem teroka tema Bangsa Manusia dalam Freedom Film Fest


Diyana Ibrahim

Pengarah Eksekutif FFF Anna Har berkata keseluruhan tayangan dan diskusi dalam FFF kali ke-18 tahun ini dijalankan secara dalam talian.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Disember, 2020.

PANDEMIK Covid-19 tidak menghalang temasya filem hak asasi Freedom Film Fest (FFF) diteruskan pada tahun ini untuk mengangkat suara terpencil masyarakat Malaysia.

Namun tidak seperti kebiasaan pada tahun sebelum ini, keseluruhan tayangan dan diskusi dalam FFF kali ke-18 tahun ini dijalankan secara dalam talian.

Menurut Pengarah Eksekutif FFF Anna Har berkata, sebanyak 18 filem ditawarkan pada tahun ini dengan tema Bangsa Manusia yang berlangsung selama empat hari sejak Khamis lalu.

Jelasnya tema Bangsa Manusia dipilih untuk tahun ini kerana isu bangsa merupakan isu yang sukar dipecahkan di Malaysia.

“Masa Januari lepas terlalu banyak isu mengenai bangsa, sampai kita tak boleh pecahkan bangsa (dan) diskriminasi jadi kita ambil tema Bangsa Manusia.

“Maksudnya semua manusia juga, tak kira kaum bangsa, akhirnya darah juga yang mengalir. Jadi kita pilih tema itulah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Antara tarikan dalam temasya kali ini ialah Meniti Senja dan Ayahku Dr G, antara filem yang dihasilkan melalui geran yang dimenangi, kata Har.

Jelasnya, Meniti Senja karya Lily Fu mengetengahkan isu warga emas dan kesediaan masyarakat Malaysia menghadapi status negara tua.

“Filem ini sebenarnya nak bawa mesej isu kesedaran bahawa kita, orang muda kena siap sedia bila usia sudah meningkat.

“Kemudian kerajaan pun perlu ada sistem atau ubah polisi yang menjaga warga tua supaya (golongan ini ) tidak (terabai) ke jalanan. Sekarang ini pun sudah berlaku,” katanya.

Filem Ayahku Dr G karya Loh Jo Yee, Hidayah Hisham dan Dominique Teoh pula berkait dengan kemanusiaan dan Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati, katanya.

Menurut Anna Har, 18 filem ditawarkan pada tahun ini dengan tema Bangsa Manusia. – 12 Disember, 2020.

Jelasnya, ia menyorot kisah seorang bekas tentera, Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, yang menjalani hukuman penjara kerana cuba mengubati penyakit kroniknya dengan ganja.

“Filem ini sebenarnya lebih menumpukan kepada perhubungan bapa dan anak, dan anak yang memperjuangkan nasib bapa, membelanya dari dihukum mati,” katanya.

Selain itu, peminat filem dokumentari boleh melihat buat pertama kalinya nasib golongan petani diketengahkan menerusi Petani Bukan Pemalas karya aktivis Nurfitri Amir.

Tambah Har, FFF kali ini turut mengupas isu penapisan filem oleh kerajaan ke atas indusri dan kesannya melalui filem arahan Arian Md Zahari.

Filem bertajuk Melawan Lembaga Puaka itu mempersoalkan sama ada Akta Penapisan Filem yang diperkenalkan sejak zaman British itu masih lagi sesuai digunakan pada masa kini.

Ujar Har, kesemua filem dan diskusi yang akan menyusuli setiap tayangan akan disiarkan melalui platform khas online CloudTheatre.

Beliau juga mengakui penganjuran pertama kali secara maya agak mencabar kepada krew FFF, terutama bagi menarik khalayak menonton secara dalam talian.

“Kalau dulu kita secara fizikal, acara kita ada diskusi ada moderator yang bagus, tapi kalau secara maya ini kita takut tarikan itu akan berbeza, dan ini yang masih lagi kita cuba perbaiki,” katanya.

Selain itu penganjur juga berdepan masalah teknikal untuk membolehkan filem tersebut ditonton kepada khalayak sasaran di luar bandar memandangkan temasya itu mengetengahkan isu mereka.

“Kalau dulu filem ini kita akan bawa juga ditayangkan di luar bandar, tapi sekarang ini kita kena buat secara maya.

“FFF sering membawa isu mereka tapi tak dapat mewakili mereka, memang satu cabaran untuk kita,” katanya.

Butiran lanjut mengenai jadual tayangan dan diskusi di laman FFF. – 12 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen