Kemelut di Perak selesai, kata Bersatu, BN, PAS


Perbincangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, meleraikan kemelut politik di Perak. – Gambar Twitter, 9 Disember, 2020.

KEMELUT pembentukan kerajaan baharu Perak selesai selepas Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS sepakat untuk mencadangkan Adun Kota Tampan Saarani Mohamad, yang juga ketua Umno Perak, sebagai calon menteri besar yang baharu.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, kata ketiga-tiga parti dalam satu kenyataan bersama.

Dalam perbincangan itu, Zahid yang juga presiden Umno turut meminta maaf bagi pihak wakil-wakil rakyat BN di Perak, setelah mereka mengemukakan usul percaya terhadap bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu dan kemudian tidak menyokongnya.

“Pengerusi BN telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Adun-Adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

“Atas semangat permuafakatan Perikatan Nasional (PN), ketiga-tiga parti bersetuju untuk mencadangkan Saarani sebagai menteri besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak,” kata kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan bersama oleh setiausaha agung ketiga-tiga parti iaitu Hamzah Zainuddin (Bersatu), Annuar Musa (BN) dan Takiyuddin Hassan (PAS).

Kenyataan itu juga menyebut ketiga-tiga parti sepakat mengenai pelantikan lain dalam kerajaan negeri, selain setuju untuk mengukuhkan kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di Perak dan di peringkat pusat.

Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu membuat kenyataan berasingan bahawa kemelut di Perak selesai hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Isnin memutuskan mahu terus mempertahankan kerajaan PN yang dibentuk di Perak bersama Bersatu dan PAS, sejak Mac lalu.

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagaimanapun berkata hanya akan mengambil pendirian bersama dengan PAS sebagai rakan sekutu dalam PN.

PAS sebelum itu tegas mengumumkan tidak akan menyertai usaha membentuk kerajaan baharu di Perak.

Susulan kemelut Perak juga, Bersatu sebelum ini berkata mahu mengukuhkan kerjasama dengan PAS atas nama PN, yang didaftarkan sebagai parti baharu pada Ogos lalu.

Umno dan BN pada hujung Julai mengumumkan tidak menyertai parti baharu itu.

Kerajaan Perak pimpinan Faizal tumbang selepas wakil rakyat Umno membuat usul percaya yang kemudiannya tidak disokong oleh 48 wakil rakyat dari blok Umno bersama Pakatan Harapan (PH).

Hanya 10 wakil rakyat terdiri daripada 4 Bersatu, 3 PAS, serta masing-masing seorang Umno, Gerakan dan bebas menyokong kepimpinannya sebagai menteri besar. Seorang wakil rakyat diumumkan mengundi rosak atau berkecuali.

Umno dan BN juga menjelaskan mereka menolak kepimpinan Faizal yang dianggap lemah dan membelakangkan mereka dalam beberapa keputusannya sebagai menteri besar, sekali gus didakwa melanggar perjanjian setiakawan semasa mereka membentuk kerajaan.

Kerajaan Bersatu, Umno dan PAS dibentuk selepas percaturan politik pada hujung Februari yang menumbangkan PH di Putrajaya dan seterusnya di beberapa negeri. – 9 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen