Kerajaan baharu Perak tak libat PAS, kata setiausaha agung


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

PAS tidak terlibat dengan pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran negeri Perak pimpinan Ahmad Faizal Azumu, tegas parti itu.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata PAS sememangnya menyokong Ahmad Faizal sebagai menteri besar seperti ditunjukkan tiga wakil rakyatnya dalam undian di DUN hari ini.

Langkah itu sememangnya keputusan lajnah politik, PAS, katanya dalam satu kenyataan.

“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.

“Meskipun demikian, PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya.

Tiga wakil rakyat PAS itu merupakan antara 10 yang menyokong Ahmad Faizal dalam undi percaya ke atas menteri besar itu.

Seramai 48 wakil rakyat lain bagaimanapun menolak Adun Chenderiang itu sebagai menteri besar dan seorang lagi berkecuali.

Umno menguasai 25 kerusi daripada 59 kerusi di DUN Perak.

PN mempunyai lapan kerusi terdiri daripada lima Bersatu dan tiga PAS. Seorang wakil rakyat Gerakan dan seorang wakil rakyat bebas menyokong kerajaan.

PH pula menguasai 24 kerusi, dengan DAP 16, PKR lima, dan Amanah tiga.

Faizal terpilih sebagai timbalan presiden Bersatu dalam pemilihan yang berakhir pada Ogos lalu.

Beliau menang tanpa bertanding selepas pesaingnya yang juga bekas timbalan presiden Mukhriz Mahathir tersingkir dari parti kerana menyokong pembangkang.

Beliau mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar bagi kerajaan PN pada 13 Mac, selepas pentadbiran PH yang beliau terajuinya sejak pilihan raya umum Mei 2018 runtuh akibat percaturan politik. – 4 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen