MB Perak tewas undi percaya


Seramai 48 wakil rakyat lain menolak Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar dalam undi belah bahagi dan seorang lagi berkecuali.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu gagal menguasai sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini apabila usul undi percaya dikemukakan terhadapnya hari ini semasa persidangan dewan.

Beliau hanya memperolehi sokongan 10 wakil rakyat sementara 48 yang lain menolak beliau sebagai menteri besar dalam undi belah bahagi yang dibenarkan Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Seorang wakil rakyat  berkecuali, umum Mohamad Zahir.

Usul ke atas Faizal yang merupakan Adun Chenderiang difailkan Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) sejak bulan lalu dan disenarai terahir urusan sidang DUN.

Satu surat yang dilihat The Malaysian Insight menyebut, Abdul Manaf meminta agar sokongan ke atas Faizal diuji di Dewan itu.

Ia difailkan mengikut Peraturan Tetap 27(3) untuk menentukan Faizal mendapat keyakinan ahli Dewan untuk menjadi menteri besar.

Dua lagi usul tergempar dibawakan Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) bagaimanapun mendesak agar usul tersebut didengar hari ini yang diterima Speaker.

Usul undi belah bahagian kemudiannya dicadangkan Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) yang kemudiannya dilaksanakan apabila mendapat mendapat sokongan ahli Dewan.

Selepas menjalankan undian dan mengumumkan keputusan, Speaker kemudiannya berkata beliau dan Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak bagi memaklumkan keputusan itu.

“Saya terpaksa memohon izin menyembah maklum kepada paduka seri sultan berkenaan keputusan di dewan yang bersejarah ini.

“Saya juga percaya selepas itu menteri besar akan memohon izin menghadap seri paduka sultan untuk memaklumkan perkara sama tertakluk kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya.

Undi tidak percaya ke atas Ahmad Faizal itu antara lain dikaitkan dengan pergeseran beliau dengan Umno.

Pengerusi Umno Saarani Mohamad pada Oktober lalu mendedahkan ia berpunca daripada tindakan menteri besar itu tidak menghormati perjanjian dengan kedua-dua parti dan PAS.

Katanya, Faizal melanggar persetujuan bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada awal tahun ini dengan melantik wakil rakyat Umno sebagai setiausaha politiknya.

Sedangkan, pelantikan mana-mana Adun, atau pemimpin Umno dalam kerajaan perlu dibincangkan dengan badan perhubungan negeri terlebih dahulu atas setiakawan dan prinsip hormat, katanya.

Katanya, semangat setiakawan itu bagi memastikan keadaan politik di Perak kekal stabil.

Ia berikutan pelantikan Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim dari Umno sebagai setiausaha politiknya yang baharu.

Pelantikan itu menggantikan Iskandar Dzulkarnian Abdul Khalid yang diberikan tugas baharu melibatkan urusan di peringkat persekutuan.

Tambahnya, perjanjian setiakawan mengenai pelantikan wakil parti dalam kerajaan itu juga merangkumi jawatan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik.

Saarani juga mendedahkan terdapat usaha mengubah senarai nama exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan speaker Dewan.

Pelantikan Aznel sebagai setiausaha politik Faizal juga dipersoal Umno Perak.

Umno mempunyai 25 kerusi daripada 59 kerusi di DUN Perak.

PN mempunyai lapan kerusi terdiri daripada lima Bersatu dan tiga PAS. Seorang wakil rakyat Gerakan dan seorang wakil rakyat bebas menyokong kerajaan.

PH pula menguasai 24 kerusi, dengan DAP 16, PKR lima, dan Amanah tiga.

Faizal terpilih sebagai timbalan presiden Bersatu dalam pemilihan yang berakhir pada Ogos lalu. Beliau menang tanpa bertanding selepas pesaingnya yang juga bekas timbalan presiden Mukhriz Mahathir tersingkir dari parti kerana menyokong pembangkang.

Beliau mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar bagi kerajaan PN pada 13 Mac, selepas pentadbiran PH yang beliau terajuinya sejak pilihan raya umum Mei 2018 runtuh akibat percaturan politik. – 4 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen