Pesawah buat benih sendiri untuk lawan kartel padi


Zaim Ibrahim

Petani kini tidak dijerat hutang apabila tidak lagi perlu bergantung kepada benih daripada rangkaian pengedar. – 9 Disember, 2020.

PESAWAH perlu terus dibenarkan menggunakan benih padi yang disediakan sendiri dan bukan benih mudah rosak yang diwajibkan kerajaan untuk memastikan tuaian yang baik, kata petani.

Ia juga bagi memastikan petani tidak dijerat hutang apabila tidak lagi perlu bergantung kepada benih daripada rangkaian pengedar, kata pesawah ini kepada The Malaysian Insight.

Isu tuaian dan jerat hutang itu masalah pokok mereka sejak sedekad lalu apabila kerajaan mula mewajibkan Skim Benih Padi Sah (SBPS) pada 2009, kata Azhar Hashim, pesawah di Bagan Serai.

Katanya, beliau mula mengusahakan benih padi sendiri sejak tiga tahun lalu kerana tidak mahu terus sengsara disebabkan benih tidak bermutu, mahal dan hasil tuaian yang tidak memadai.

“Saya mempunyai bendang padi seluas 18 ekar. Untuk satu ekar, kita perlukan empat beg benih padi dengan seberat 20kg setiap beg.

“Jadi kita perlu beli banyak benih, tetapi benih daripada SPBP tidak berkualiti. Contohnya banyak padi hampa, benih rumput yang telah bercampur, dan ada juga benih muda,” katanya.

“Di beg benih padi, mereka tulis percambahan boleh mencapai 80% apabila benih direndam tetapi sebenarnya tidak sampai 80%, jadi rugi sahaja kita beli,” kata pesawah berusia 52 tahun itu.

Azhar mula mengusahakan tanaman padi di tanah sewaan dan tanah pusaka itu ketika usia 14 tahun lagi untuk menanggung keluarga selepas ayahnya meninggal dunia.

Kini, beliau semakin yakin menolak SBPS apabila mampu mendapatkan hasil pendapatan yang lebih baik sejak mengusahakan benih padi sendiri sejak tiga tahun lalu.

Proses menghasilkan benih padi sendiri mampu memberi pendapatan lebih baik kepada petani.– 9 Disember, 2020.

“Idea ini saya dapat hasil pengalaman ketika zaman 1980-an dan juga tunjuk ajar orang lama-lama. Dengan benih sendiri, padi lebih cepat ranum. Benih juga cukup masak dan merah untuk dicambahkan.

“Apabila kita rendam 10 biji, 10 bijilah bercambah. Kalau 1,000 biji, 1,000 biji bercambah.

“Apabila bercambah dengan baik. Hasil tuaian kita insyaallah lebih banyak dan ada potensi lah dapat pendapatan lebih tinggi,” jelas bapa kepada enam anak itu.  

SPBP merupakan satu sistem perakuan kualiti yang ditetapkan kerajaan bagi mengeluar dan membekal benih padi untuk tujuan penanaman mengikut syarat dan piawaian yang ditetapkan.

Di bawah skim ini, hanya pengeluar yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sahaja layak memohon untuk mendapatkan perkhidmatan skim berkenaan.

Namun menurut Azhar, ia bermasalah kerana benih padi sah melalui SPBP dikawal oleh kartel-kartel yang mengeksplotasi keluaran benih.

Beliau memberi contoh, satu beg benih 2kg dijual pada harga RM28 di kilang. Namun, pesawah terpaksa membeli melalui ejen pada harga jauh lebih tinggi, sehingga RM40 setiap beg.

Jelasnya, walaupun tidak dihalang untuk membeli secara terus dari kilang, mereka tidak dapat memperolehinya kerana pengilang sentiasa tiada stok mencukupi.

“Pihak kilang asyik bagi alasan kekurangan stok, atau habis supaya kami terpaksa beli dengan harga yang mahal. Kalau pesawah berhutang pula, mereka jual sehingga RM50 satu beg,” jelas beliau.

Benih padi sah melalui SPBP dikawal oleh kartel-kartel yang mengeksplotasi keluaran benih.– 9 Disember, 2020.

Jelasnya, walau tidak mampu menghasilkan benih dengan jumlah tinggi seperti keluaran kilang, beliau tetap dapat menjimatkan kos operasi dengan penghasilan sendiri.

“Untuk 1 ekar tanah kita perlukan empat beg benih. Untuk 10 ekar, saya perlu 40 beg. Jadi kalau saya dapat hasilkan dalam 30 beg benih sendiri, saya hanya perlu membeli selebihnya di kilang.

“Ia lebih jimat berbanding beli semua beg benih di kilang,” jelas beliau.

Menurut Azhar, beliau hanya meraih sekitar RM3,600 untuk setiap 1 ekar sawah, dan separuh daripadanya adalah kos operasi.

Namun, dengan penggunaan benih padi sendiri, hasil pendapatan lebih baik kerana benih dibuat sendiri tanpa perlu dibeli sepenuhnya daripada skim SBPS, jelasnya.

“Saya boleh berjimat lebih daripada RM1,000 dengan penghasilan benih sendiri. Kerajaan perlu galakkan petani hasilkan benih sendiri, beri latihan dan didikan supaya ia mencapai standard yang berkualiti.

“Buat benih sendiri juga kita dapat asing benih yang sihat dan berpenyakit, kalau beli benih dalam beg kita rugi sebab benih yang rosak, kita buang sahaja,” tambah beliau.

Kisah Azhar merupakan antara yang dirakam dalam filem dokumentari pendek Petani Bukan Pemalas yang diarahkan aktivis padi seperjuangannya, Nur Fitri Amir Muhammad.

Kisah tersebut dimuatkan dalam salah satu filem yang dihasilkan melalui geran untuk temasya berpengaruh Freedom Film Festival ke-18.

Nur Fitri yang bergiat bersama Azhar dalam NGO Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkata ia digarap khusus untuk mendedahkan isu yang menekan petani selama ini.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, ia juga bagi menanggalkan stigma pemalas pada pekerjaan pesawah, katanya.

Nur Fitri Amir Muhammad yang merupakan aktivis Pesawah mendedahkan isu yang membelenggu petani menerusi filem. – 9 Disember, 2020.

“Pertama saya mahu tunjukkan, golongan petani bukan pemalas seperti beberapa tanggapan. Mereka mula bekerja sebelum waktu pejabat dan berhenti dalam jam 11 atau 12 tengah hari.

“Kemudian mereka sambung pada jam 2 petang atau selepas jam 5 petang.

“Disebabkan masyarakat tidak faham bagaimana mereka bekerja ramai beranggapan sikap petani menyebabkan mereka miskin dan tidak maju,” kata beliau.

Jelasnya isu penggunaan bekalan benih tidak bermutu dan rangkaian kawalan yang memangsakan itu penghalang pesawah untuk maju seperti profesion lain.

“Perkara sebenar yang halang petani daripada maju adalah ekploitasi sistem seperti yang dihadapi oleh Azhar dalam isu pembelian benih padi sah.

“Sistem untuk golongan petani perlu diubah dan mereka hendaklah berani menyuarkan hak-hak mereka,” katanya yang banyak terlibat dalam kajian dan usaha advokasi terhadap dasar industri tanaman padi.

Tambahnya, filem ini juga untuk memberi semangat kepada golongan petani supaya tidak mudah pasrah dan terus membuat kajian untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Keseluruhan penggambaran dijalankan di Bagan Serai melibatkan beliau dan seorang pembantu, dan seramai 30 lagi membantu di peringkat pascapenerbitan, kata Nur Fitri.

Filem sepanjang 60 minit itu akan ditayangkan mulai 11 Disember dalam temasya Festival Freedom Film ke-18 secara dalam talian.

Sebanyak 150 tiket percuma disediakan penganjur, Freedom Film Network bagi penonton yang membuat tempahan awal. – 9 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen