Perak bergolak tak jejas Perikatan di Putrajaya, kata penganalisis


Kamles Kumar

Undi percaya yang dikemukakan pada sidang DUN Perak semalam hanya membabitkan jawatan menteri besar, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2020.

STRATEGI politik Umno di Perak tidak akan menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat atau negeri lain kerana parti itu hanya mensasarkan jawatan menteri besar Perak, kata penganalisis politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Umno mensasarkan jawatan menteri besar Perak sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lagi dan ini adalah saat yang dinanti-nantikan mereka untuk merebut kuasa di negeri itu.

Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania Profesor Dr James Chin berkata situasi politik di Perak bukan perkara biasa malah usul undi percaya terhadap Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu semalam tidak memeranjatkan.

“Sudah tentu Umno akan berusaha keras kerana mereka mahukan jawatan menteri besar diisi orang mereka. Ini tidak akan mempengaruhi politik nasional kerana ini hanya membabitkan Perak.

“Inilah yang uniknya politik di Perak. Ia tidak akan melarat sampai ke persekutuan atau negeri lain,” katanya.

Chin menambah, walaupun Umno dan DAP berseteru sejak sekian lama namun kedua-dua parti sedia bekerjasama untuk menggulingkan musuh yang sama di Perak,  iaitu Bersatu.

“Kerjasama antara Umno dan DAP hanya untuk sekali ini, atas satu sebab iaitu mahu menjatuhkan kerajaan di bawah Bersatu. 

“Ideologi yang berbeza tidak memungkinkan untuk Umno bekerjasama dengan DAP. Mereka tidak akan bekerjasama dalam pilihan raya akan datang untuk membentuk gabungan,” jelasnya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar pula berkata kerajaan persekutuan PN perlu menyelesaikan segera isu di Perak sebelum melarat.

“Kerajaan PN tetap kekal berkuasa jika masih ada kerjasama dalam gabungan. Jika PAS dan Bersatu menolak Umno ini akan mencetus krisis politik yang mungkin menjejaskan kerajaan pusat,” katanya.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul percaya selepas hanya 10 Adun menyokong, 48 tidak menyokong manakala satu lagi berkecuali semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2020.

Hisomuddin berkata PN masih mampu mengawal keadaan kerana Umno hanya mahukan jawatan menteri besar Perak.

“Cabaran bagi PN, yang di dalam gabunagn itu ada Bersatu dan PAS, adalah berunding dengan Barisan Nasional untuk menyelesaikan  situasi politik di Perak.”

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan semalam berkata parti itu mahu PN kekal sebagai kerajaan negeri di Perak walaupun bergolak susulan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal.

PAS juga semalam keluarkan kenyataan bahawa parti Islam itu tidak terlibat dengan pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran pimpinan Ahmad Faizal.

Chin bagaimanapun tidak percaya PAS akan kekal dengan pendiriannya.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah apa yang PAS akan lakukan, mereka sekarang tersepit. Apa pun yang PAS cakap sekarang, mereka tetap akan jadi sebahagian dari pentadbiran baharu,” katanya.

Jika PAS menarik diri, Umno perlu mencari sekutu baharu dan ini termasuklah bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan seperti DAP yang mempunyai 16 kerusi di Perak.

Hisommudin berkata itu mungkin jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak jika Umno memutuskan untuk tamatkan kerjasama dengan PN di peringkat negeri. – 5 Disember, 2020. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen