Umno mahu Perikatan kekal terajui Perak 


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata semua barisan exco kerajaan negeri juga mesti diteruskan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

UMNO mahu Perikatan Nasional kekal sebagai kerajaan negeri di Perak selepas menteri besar Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh majoriti usul undi percaya terhadapnya, kata Ahmad Maslan.

Setiausaha agung Umno itu berkata usul undi percaya – yang dibawa oleh wakil rakyat Umno dan disokong oleh semua wakil Umno – hanya melibatkan Faizal dan bukan kerajaan negeri yang diterajui Perikatan.

“Semua barisan exco kerajaan negeri juga mesti diteruskan.

“Umno juga berpendirian bahawa Bersatu dan PAS harus bersama mendokong kerajaan PN negeri Perak,” katanya yang juga ahli Parlimen Pontian dalam satu kenyataan.

Usul tersebut dibawa oleh Adun Pengkalan Baru daripada Umno Abd Manap Hashim.

Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul itu selepas hanya 10 Adun menyokong, 48 tidak menyokong manakala satu lagi berkecuali setelah undian secara bertulis dijalankan hari ini.

Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu dilantik sebagai MB Perak selepas Pakatan Harapan memenangi negeri itu pada pilihan raya 2018.

Walaupun Bersatu mempunyai Adun paling sedikit, PH memutuskan untuk melantik beliau berikutan perjanjian perkongsian kuasa dengan Bersatu.

Susulan kejatuhan PH Februari lalu, Faizal meletak jawatan sebagai menteri besar Pakatan untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu bersama Barisan Nasional dan PAS.

Walaupun Bersatu hanya mempunyai lima Adun berbanding Umno 25 dan PAS tiga, Faizal dilantik semula pada Mac selepas PN mengambil alih negeri itu.

Kerajaan PN kini disokong lapan Adun PN dan 25 Adun daripada BN serta masing-masing satu Adun Gerakan dan Bebas dalam 59 kerusi negeri.

Pembangkang di Perak terdiri daripada 24 Adun PH - DAP (16), Amanah (5) dan PKR (3).

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak terlibat dengan pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran negeri Perak pimpinan Ahmad Faizal Azumu.

Adun Gunung Semanggol dan Pesuruhjaya PAS Negeri Razman Zakaria, Adun Selama Mohd Akmal Kamaruddin dan Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya meruakan exco dalam kerajaan negeri Perak.

Tiga Adun PAS menyokong Faizal dalam usul undi percaya.– 4 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen