Usahawan industri perkahwinan perlu lincah dan sesuai diri dengan norma baharu


SATU akibat pandemik Covid-19 ialah majlis perkahwinan perlu dibatalkan atau ditangguhkan.

Ini telah menyebabkan masalah serius – usahawan industry perkahwinan terjejas teruk kerana mereka hanya mempunyai sedikit pendapatan ataupun langsung tiada.

Menurut Persatuan Usahawan Majlis Perkahwinan Malaysia, sebanyak 150,000 majlis perkahwinan yang dirancang dalam tempoh pandemik Covid-19 telah dibatalkan di seluruh negara sejak April lalu.

Namun, keputusan tersebut telah disokong oleh kerajaan kerana majlis perkahwinan boleh mencetuskan jangkitan Covid-19.

Sebagai contoh jelas, 88 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi pada April lalu, menjadikan jangkitan dalam kluster itu ke generasi kelima.

Ini kerana majlis perkahwinan biasanya dihadiri oleh ramai jemputan, lantas penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka sukar dilaksanakan.

Para hadirin juga berkongsi makanan atau minuman bersama-sama, yang akan memberi kesan serius kepada pandemik Covid-19, terutamanya jika majlis perkahwinan diadakan di dalam bangunan yang tertutup.

Atas sebab ini, Dr Zainal Ariffin Omar, seorang pakar perunding perubatan kesihatan awam dan epidemiologi penyakit tidak berjangkit mengesyorkan agar tuan rumah sama ada menangguhkan majlis perkahwinan mereka atau menjalankannya secara kecil-kecilan dengan ahli keluarga terdekat.

Akibatnya, usahawan industri perkahwinan perlu mengambil inisiatif untuk menyesuaikan perniagaan mereka dengan norma baharu serta mengukuhkan perniagaan mereka melalui pendigitalan supaya dapat terus bertahan dalam industri, terutamanya semasa pandemik ini.

Maka itu, mereka harus mengambil langkah-langkah untuk mengubah majlis perkahwinan tradisional ke majlis perkahwinan maya.

Majlis perkahwinan maya melibatkan penyertaan para tetamu secara maya melalui platform persidangan video seperti Zoom, Google Meet, FaceTime, bahkan Facebook Live.

Para pasangan memilih majlis perkahwinan maya atas sebab antaranya, ahli keluarga tidak dapat menghadiri majlis secara fizikal tetapi masih ingin menyertai majils tersebut, namun sebab paling penting pada masa kini adalah wabak Covid-19 telah menetapkan sekatan terhadap perhimpunan besar-besaran.

Di samping itu, menurut data dari The Knot, perancang pernikahan semua-dalam-satu, kos purata perkahwinan pada 2019 adalah $33,900.

Namun, jika pasangan mengadakan majlis perkahwinan maya, ia pasti dapat menjimatkan perbelanjaan makanan, tempat dan sebagainya.

Majlis perkahwinan maya juga berupaya menjadi indah, beremosi dan mungkin lebih bermakna secara peribadi daripada majlis perkahwinan tradisional.

Bak kata pepatah, sambal menyelam meminum air.

Zola, syarikat perancangan dan pendaftaran perkahwinan, melancarkan majlis perkahwinan maya pada Julai lalu dan berjaya menganjurkan lebih 1,500 majlis perkahwinan maya pada minggu pertama sahaja.

Tinjauan 12,000 pasangan yang menempah majlis perkahwinan untuk Oktober menunjukkan lebih 37% sedang menimbangkan majlis perkahwinan maya kerana banyak kelebihannya, terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Ini semua menunjukkan usahawan industri perkahwinan harus berusaha menjadikan majlis perkahwinan maya sebagai satu tren di negara kita, supaya dapat menjana pendapatan dan sekali gus mengekalkan perniagaan mereka dalam ekonomi yang lembap ini.

Mereka boleh menjadi lebih kreatif dan menarik dalam merancang majlis perkahwinan maya untuk pasangan, seperti mengirim kotak hadiah perkahwinan yang disesuaikan kepada tetamu maya untuk mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Usahawan industri perkahwinan juga perlu menambahkan ciri-ciri baru dan mengubah suai rancangan mereka semasa mewujudkan konsep perkahwinan maya, masing-masing dengan identiti unik yang tersendiri.

Beberapa syarikat dalam industri perkahwinan meramalkan majlis perkahwinan maya akan terus menjadi tren walaupun wabak telah dihapuskan dan perhimpunan besar-besaran dibolehkan kerana pasangan mungkin mempunyai datuk nenek atau kawan hamil yang tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan mereka secara fizikal.

Selain itu, kerajaan kita juga harus memberikan bantuan kewangan kepada usahawan industri perkahwinan kerana mereka tidak menerima sebarang bantuan dalam Belanjawan 2021.

Mereka tidak mempunyai pendapatan selama beberapa bulan berturut-turut, jadi mereka tidak dapat memohon pinjaman bank.

Akibatnya, mereka terpaksa menggunakan simpanan atau rizab syarikat mereka yang sudah sedikit.

Lantaran itu, kerajaan harus menawarkan pinjaman kepada mereka dalam usaha mengurangkan kesan negatif pandemik Covid-19.

Pinjaman boleh dicaj dengan kadar faedah rendah dan syarat kelayakan yang longgar supaya mereka dapat memohon dengan mudah.

“Saya tidak boleh mengubah arah angin, tetapi saya boleh menyesuaikan layar untuk mencapai destinasi saya” – kata hemat Jimmy Dean, seorang penyanyi, pengacara televisyen, pelakon dan peniaga dari Amerika Syarikat sangat relevan untuk renungan para peniaga dan usahawan terutamanya dalam industry perkahwinan.

Mereka harus mengambil pandemik ini sebagai peluang untuk menyesuaikan layar perniagaan mereka dengan menceburi dalam industri atau perniagaan lain yang berkaitan.

Sebagai contoh, usahawan industri perkahwinan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam fotografi boleh cuba menceburkan diri dalam perniagaan fotografi dari rumah untuk menjadi jurugambar potret atau fesyen.

Perniagaan fotografi dari rumah bukan sahaja membolehkan mereka menguruskan masa secara fleksibel, tetapi juga dapat menjana wang dengan kemahiran dan peralatan yang sedia ada.

Selain itu, mereka yang mempunyai kepakaran dalam perancangan perkahwinan boleh menerapkan konsep perniagaan mereka dalam aktiviti pengurusan acara berskala kecil yang boleh dilaksanakan semasa pandemik ini.

Mereka boleh membantu penganjur dengan kepakaran dan kreativiti mereka yang sedia ada.

Tambahan pula, mereka yang pakar dalam penyediaan makanan atau katering boleh menghantar makanan sendiri, atau bergabung dengan Food Panda, Hungry dan platform penghantaran makanan lain untuk menghantar makanan kepada pelanggan.

Mereka juga boleh meningkatkan jualan mereka dengan menjual pencuci mulut yang popular dan makanan yang sihat, dan mempromosikannya melalui media sosial.

Dengan menjadi fleksibel dan lincah, mereka tidak perlu menjual aset perniagaan mereka apabila mereka menceburi industri atau perniagaan lain yang berkaitan, kerana mereka masih akan menggunakan aset-aset ini.

Apabila wabak ini berakhir, mereka boleh kembali ke industri perkahwinan dan terus menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. – 1 Disember, 2020.

* Jamari Mohtar dan Tam Mei Si merupakan sebahagian daripada kumpulan penyelidikan di Emir Research.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen