Kira undi yang ada di Dewan Rakyat saja, pesan timbalan speaker


Zaim Ibrahim Aminah Farid Chan Kok Leong

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata hanya ahli Dewan Rakyat yang berada di dewan sahaja yang diambil dan dikira undi mereka untuk proses undi belah bahagi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

SEMUA penghitung undi perlu memastikan hanya ahli Dewan Rakyat yang berada di dewan sahaja yang diambil dan dikira undi mereka untuk proses undi belah bahagian, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon.

Katanya, tatacara itu termaktub dalam Perkara 47 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas seorang wakil penghitung undi bagi Perikatan Nasional semalam mengaku tersalah kira memasukkan anggota yang tidak hadir.

“Daripada Peraturan Mesyuarat Perkara 47, penghitung undi kira-kira mesti memastikan ahli-ahli Yang Berhormat ada dan dia melihat Yang Berhormat berada di situ (di tempat duduk), dan menandakan dalam petak-petak yang telah diberikan,” katanya, menutup perbalahan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas isu kesilapan itu dibetulkan hari ini.

Perbalahan timbul selepas Rashid membacakan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang mengakui ada kesilapan dalam proses pengiraan undi belah bahagi untuk peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan semalam.

Kesilapan pengiraan dibangkitkan oleh Noor Amin Ahmad (Kangar-Pakatan Harapan), yang mengesan penghitung undi Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor-Perikatan Nasional) mengambil kira undi Nazri Aziz (Padang Rengas-Barisan Nasional) yang tiada di Dewan Rakyat semalam.

Rashid mempertahankan Shabudin apabila berkata kesilapan itu tidak disengajakan.

“Ini bukan penipuan, dia minta maaf sebab ini satu kesilapan,” tambahnya.

Pengundian semalam berlangsung ketika persidangan peringkat jawatankuasa untuk Belanjawan 2021 dipengerusikan oleh Azhar.

Menurut Shabudin, beliau nampak Nazri ada di Dewan Rakyat tetapi tidak pasti apakah beliau ada semasa pengundian berjalan.

“Saya yakin dia ada. Saya tidak ada niat untuk mengelirukan Dewan. Saya minta maaf,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian meminta Rashid membuat keputusan mengenai proses pengiraan supaya mengikut peraturan mesyuarat.

Peraturan mesyuarat antara lain menyebut penghitung undi hendaklah mengira undi dengan bertanya kepada setiap seorang ahli parlimen akan pendiriannya terhadap sesuatu isu yang diundi itu.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota selepas dua wakil rakyat, masing-masing dari pembangkang dan kerajaan, meninggal dunia. Di atas kertas Perikatan Nasional mempunyai 112 ahli Parlimen berbanding 108 di kem pembangkang.

Rashid sebelum itu berkata kesilapan semalam bukan luar biasa kerana blok Pakatan Harapan pun buat silap sebelum ini ketika proses undi belah bahagi pada 2017.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian menegur kesilapan lampau bukan alasan untuk mewajarkan kesilapan semalam, sebaliknya mengukuhkan pandangan bahawa sistem Dewan Rakyat perlu diperbaiki dan dikemas kini. – 1 Disember, 2020.    

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen