Undi belah bahagi Kementerian Kewangan salah kira, kata pejabat speaker


Aminah Farid Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Terdapat kesilapan dalam proses pengiraan undi belah bahagi untuk peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan semalam, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon.– Gambar AFP, 1 Disember, 2020.

PEJABAT Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengakui ada kesilapan dalam proses pengiraan undi belah bahagi untuk peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan semalam, kata Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon.

Beliau membuat pembetulan itu sebelum perbahasan peringkat jawatankusa dimulakan bagi Kementerian Luar.

“Oleh itu, saya meminda keputusan belah bahagian (bagi Kementerian Kewangan) daripada 18 ahli yang tidak hadir kepada 19 dan 107 ahli bersetuju kepada 106. Manakala 95 ahli kekal tidak bersetuju,” katanya, membacakan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Rashid menambah kesalahan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan keputusan belah bahagian bagi peruntukan Kementerian Kewangan.

Kenyataan itu juga menyebut kesilapan pengiraan dibangkitkan oleh Noor Amin Ahmad (Kangar-Pakatan Harapan).

Noor Amin membangkitkan kesilapan yang dibuat oleh penghitung undi Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor-Perikatan Nasional) yang mengira undi bagi anggota Dewan Rakyat di Blok C Dewan Rakyat.

Pengundian semalam berlangsung ketika persidangan dipengerusikan oleh Azhar.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian bangun mempersoalkan tatacara pengiraan undi belah bahagi yang tidak mengikut ketetapan peraturan mesyuarat, antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Bebas) dan RSN Rayer (Jelutong-PH).

Shabudin kemudian menjelaskan kesilapan itu bukan disengajakan dan bukan berniat untuk menipu.

Katanya, beliau nampak Nazri Aziz (Padang Rengas-Barisan Nasional) di Dewan Rakyat tetapi tidak pasti apakah beliau ada semasa pengundian berjalan.

“Saya yakin dia ada. Saya tidak ada niat untuk mengelirukan Dewan. Saya minta maaf,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian meminta Rashid membuat keputusan mengenai proses pengiraan supaya mengikut peraturan mesyuarat. 

Peraturan mesyuarat antara lain menyebut penghitung undi hendaklah mengira undi dengan bertanya kepada setiap seorang ahli parlimen akan pendiriannya terhadap sesuatu isu yang diundi itu.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian menuntut Rashid supaya menghukum Shabudin. Mereka juga menggesa agar undian belah bahagi bagi Kementerian Kewangan dibuat semula.

“Tuan Speaker, kesalahan telah dibuat, hukum saja Tasek Gelugor,” kata Mohamad Sabu (Kota Raja-PH).

“Dia (Shabudin) mengaku dah dia buat silap dalam Parlimen, hukuman saja. Dia nampak Nazri ada di kantin, dia kata ada di sini. Hukum dia saja,” tambahnya.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh kemudian bangun meminta jaminan agar peraturan mesyuarat bagi undi belah bahagi dipatuhi, ketika Dewan Rakyat dijangka akan menentukan peruntukan untuk kesemua 27 kementerian di peringkat jawatankuasa sehingga 15 Disember ini.

“Setiap penghitung mesti bertanya, tidak boleh membuat andaian. 

“Kalau penghitung untuk blok Padang Rengas membuat andaian (semalam) bagaimana kami boleh yakin, penghitung di blok lain di pihak kerajaan tidak membuat perkara yang sama,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Rashid jaminan itu penting ketika kerajaan PN hanya ada majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota selepas dua wakil rakyat, masing-masing dari pembangkang dan kerajaan, meninggal dunia. Di atas kertas Perikatan Nasional mempunyai 112 ahli Parlimen berbanding 108 di kem pembangkang.

Rashid sebelum itu berkata kesilapan semalam bukan luar biasa kerana blok PH pun buat silap sebelum ini ketika proses undi belah bahagi pada 2017.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian menegur kesilapan lampau bukan alasan untuk mewajarkan kesilapan semalam, sebaliknya mengukuhkan pandangan bahawa sistem Dewan Rakyat perlu diperbaiki dan dikemas kini. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen