Peruntukan JPM, Kementerian Kewangan lulus peringkat jawatankuasa


Peruntukan bagi JPM diluluskan secara undian belah bahagi dengan 105 menyokong dan 95 membantah, sementara bagi Kementerian Kewangan 107 menyokong dan 95 membantah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

AHLI Parlimen pembangkang gagal menolak peruntukan Belanjawan 2021 bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan selepas dibahaskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Peruntukan bagi JPM diluluskan secara undian belah bahagi dengan 105 menyokong dan 95 membantah, sementara bagi Kementerian Kewangan 107 menyokong dan 95 membantah.

Seramai 20 ahli Parlimen tidak hadir mengundi untuk peringkat jawatankuasa bagi JPM, manakala 18 tidak hadir semasa undian untuk peruntukan Kementerian Kewangan.

Antara yang tidak hadir ialah lapan ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (Warisan), bagi pihak pembangkang.

Selain itu, Chow Kon Yeow (Tanjong-DAP), Masir Kujat (Sri Aman-PSB), serta tiga ahli Parlimen PKR iaitu Awang Husaini Sahari (Putatan), Michael Teo (Miri), dan Christina Liew (Tawau) juga tidak hadir semasa undian bagi Kementerian Kewangan

Mereka yang tidak hadir di pihak kerajaan termasuk Najib Razak (BN-Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Pengumuman keputusan undian oleh speaker disambut oleh Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim dari BN yang berkata kerajaan sudah menang 2-0.

“Menang 27-0 pun tak apa,” balas Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Peruntukan untuk Kementerian Kewangan diluluskan selepas perbahasan hampir dua jam. Antara yang berbahas ialah Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang mempersoalkan kenapa masih ramai kumpulan rakyat tercicir walaupun kerajaan berhasrat mahu membantu banyak pihak melalui Belanjawan 2021.

Beliau menyebut antaranya pengusaha kantin dan pemandu bas sekolah, serta pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong.

“Mereka sekarang dalam keadaan sengsara… Kita perlu bantuan yang lebih untuk mereka yang tercicir,” katanya.

Peruntukan untuk JPM sebelum itu diluluskan selepas perbahasan selama hampir dua jam.

Antara isu yang dibangkitkan semasa perbahasan termasuk penambahan 10.7% atau RM482 juta untuk Jabatan Perdana Menteri di tengah pandemik Covid-19, peruntukan lebih sedikit diberikan kepada beberapa negeri seperti Sarawak dan RM813 juta peruntukan untuk kerjasama awam swasta (PPP).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut mempersoalkan keperluan untuk Kabinet lebih besar di bawah kerajaan Perikatan Nasional, yang turut dipersoalkan ahli Parlimen lain termasuk Khalid Samad (Shah Alam-PH) dan Teo Nie Ching (Kulai-PH).

Pada 2018, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melantik 28 menteri dan 27 timbalan.

Undian hari ini berlangsung ketika pembangkang Pakatan Harapan dikritik hebat selepas gagal membuat undian belah bahagi semasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 diundi di peringkat dasar pada Khamis lalu.

Terdapat 220 ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat selepas kematian Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan.

Di atas kertas Perikatan Nasional mempunyai 112 ahli Parlimen berbanding 108 di kem pembangkang.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dengan undian suara selepas pembangkang gagal mendapat sokongan 15 ahli Parlimen untuk undian belah bahagian.

Perbahasan peringkat jawatankuasa akan diadakan untuk 27 kementerian sehingga 15 Disember sebelum Dewan Rakyat memutuskan untuk meluluskan atau menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga.

Esok, jawatankuasa ini akan meneruskan perbahasan bagi tiga kementerian iaitu, luar negeri, perpaduan negara, dan perusahaan, perladangan dan komoditi. – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen