Umno mahu sokongan MB Perak diuji di DUN


Chan Kok Leong

Adun Pengkalan Baharu kemuka usul menguji sokongan terhadap Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu pada sidang DUN yang akan berlangsung 4 Disember. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

SEORANG wakil rakyat Umno di Perak mengemukakan usul untuk menguji sokongan terhadap Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan kemelut dalaman dengan rakan politiknya Barisan Nasional.

Usul percaya terhadap Ahmad Faizal dikemukakan oleh Adun Pengkalan Baharu Abd Manaf Hashim, yang notisnya bertarikh 18 November dilihat oleh The Malaysian Insight.

Usulnya meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak “membuat ketetapan bahawa Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu sebagai ahli Yang Berhormat Chenderiang mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli-Yang Berhormat DUN Perak.”

Usul ini dikemukakan ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga menyeru kerajaan untuk membawa usul percaya terhadap Perdan Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Ahmad Faizal, yang juga ahli Parlimen Tambun, sebelum ini dituduh melanggar “perjanjian setiakawan” antara Bersatu, Umno dan PAS apabila melantik wakil rakyat Umno Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politiknya.

Beliau juga dikatakan tidak menguasai barisan exconya sendiri, selepas enam daripada 10 anggota exco Perak yang dilantik terdiri daripada wakil rakyat Umno.

Timbalan presiden Bersatu itu bagaimanapun menafikan desas-desus ada gerakan dalam Umno Perak untuk menyingkir beliau.

Ahmad Faizal meletak jawatan menteri besar selepas Bersatu menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) pada awal Mac dan membentuk kerajaan gabungan baharu bersama Umno dan PAS. Ia susulan pertukaran kerajaan di Putrajaya hasil percaturan politik yang sama.

Beliau dipilih sebagai menteri besar walaupun Umno mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih banyak berbanding Bersatu.

Umno mempunyai 25 kerusi daripada 59 kerusi di DUN Perak.

PN mempunyai lapan kerusi terdiri daripada lima Bersatu dan tiga PAS. Seorang wakil rakyat Gerakan dan seorang wakil rakyat bebas menyokong kerajaan.

PH pula mempunyai 24 kerusi, dengan DAP 16, PKR lima, dan Amanah tiga.

DUN Perak dijadual bersidang untuk lima hari bermula 4 Disember ini. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen