Perikatan ambil alih Perak, kata MB


Bersatu, Umno dan PAS membentuk kerajaan Perikatan Nasional di Perak, umum Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu. – Gambar ehsan Media Perak, 9 Mac, 2020.

BERSATU, Umno dan PAS bersetuju membentuk gabungan baharu Perikatan Nasional untuk mengambil alih kerajaan Perak, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ia berhasil dengan sokongan empat Adun Bersatu termasuk dirinya sendiri, kata Adun Chenderiang itu dalam satu sidang media pagi ini. 

Sidang media itu turut dihadiri pemimpin Umno dan PAS negeri termasuklah Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria. 

Beliau mengumumkan ia bertujuan untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil, selari dengan perubahan di peringkat persekutuan yang juga dikuasai PN.

“Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, Perikatan Nasional Perak akan dapat tubuhkan kerajaan baharu dengan majoriti 32 Adun,” katanya lagi.

Beliau juga berharap kerajaan baharu Perak akan dapat menjalankan kerjasama erat dengan kerajaan gabungan parti tersebut yang kini menguasai Putrajaya.

Selain beliau, empat wakil rakyat yang berpaling tadah itu merupakan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik), Yunus Jamhari (Kuala Kurau) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

Dengan itu, Umno muncul sebagai parti paling berpengaruh dalam kerajaan baharu PN Perak dengan 25 kerusi, diikuti Bersatu dan PAS masing empat kerusi dan PAS tiga kerusi.

Semua pelantikan anggota majlis mesyuarat kerajaan Pakatan Harapan juga dibatalkan berkuatkuasa hari ini, katanya yang mengumumkan beliau masih kekal sebagai menteri besar waktu ini.

Dalam sidang media sama, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad berkata parti tersebut serta PAS dan Bersatu akan mencadangkan beberapa nama calon menteri besar baharu kepada Sultan Perak.

Saarani merupakan antara nama yang dilaporkan sebagai calon Umno Perak bagi menggantikan Ahmad Faizal.

Barisan pembangkang baharu kini menguasai 27 kerusi diketuai DAP dengan 18 kerusi, diikuti Amanah enam kerusi dan PKR tiga kerusi.

Perak merupakan negeri kedua yang secara rasminya jatuh ke tangan PN selepas gabungan parti itu berjaya mengambil alih Johor, juga dikuasai Umno.

Parti tersebut juga kini menguasai Melaka dan dijangka akan mengumumkan ketua menteri baharu. – 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen