Kerajaan perlu bawa usul percaya kepada PM, tegas Zahid


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Kerajaan perlu bawa usul percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat untuk membuktikan pentadbiran PN stabil, kata Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

KERAJAAN perlu membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat untuk membuktikan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) stabil, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata kerajaan perlu menjadikannya salah satu urusan kerajaan jika usul undi tidak percaya kepada perdana menteri tidak dapat dikemukakan.

“Dewan yang mulia ini merupakan pentas terbaik negara supaya ada situasi politik yang stabil, sama ada undi percaya atau tidak hendaklah diuji di Dewan yang mulia ini. 

“Jika tidak dapat lakukan kerana peraturan mesyuarat, biar kerajaan jadikan urusan kerajaan diutamakan, iaitu usul undi percaya dibawa ke Dewan yang mulia ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Zahid turut menuntut agar komponen dalam PN yang ditunjangi parti pimpinan Muhyiddin menunjukkan kejujuran dalam kerjasama politik itu.

Dalam ucapan ketika membahaskan Belanjawan 2021 itu, beliau juga menuntut “kebersamaan” di antara parti dalam gabungan itu.

“Dalam politik harus ada kejujuran, baik atas nama rakan politik atau nama dukungan.

“Secara piagam atau persefahaman, secara betulis atau konvensyen, secara tersurat atau tersirat penterjamahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi terhadap pelaksanaan.

“Soalan mengenai siapa yang berbudi, terhutang budi perlu diketepikan tetapi kebersamaan antara parti politik yang perlu diterjemahkan,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Tegasnya, kerajaan juga tidak harus berusaha mengekalkan kuasa dengan mengisytihar darurat di seluruh negara, seperti yang cuba dikemukakan kerajaan pada bulan lalu.

Jelasnya, langkah itu tidak patut dipertimbangkan dan perlu ditolak oleh Dewan Rakyat.

Beliau mengambil peluang membangkitkan perkara tersebut sewaktu kerajaan pimpinan Muhyiddin diasak dengan sekurang-kurangnya 25 usul undi tidak percaya dikemukakan ahli Dewan Rakyat.

Usul berkenaan bagaimanapun tidak dimajukan oleh Speaker yang memberi alasan perlu mengutamakan usul kerajaan.

Kerajaan Muhyiddin dilanda krisis sekoran ketegangan daripada pemimpin Umno yang mengancam untuk mengalih sokongan.

Bagaimanapun, majlis tertinggi tersebut pada bulan lalu memutuskan parti itu akan kekal bersama PN untuk penggal ini dan menggesa pilihan raya diadakan apabila Covid-19 reda.

Umno juga meletakkan syarat untuk menyokong Belanjawan 2021 jika pindaan dibuat. – 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen