MB Perak tidak kuasai exconya sendiri, kata ketua pembangkang negeri


Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari berkata, Bersatu di Perak yang diterajui Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu nampak seperti dipinggirkan pertadbiran kerajaan negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

MENTERI Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dilihat sudah tidak lagi menguasai kerajaannya sendiri, kata ketua pembangkang negeri, selepas enam wakil rakyat Umno dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan (MMK) negeri, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dari DAP berkata, Bersatu yang diketuai oleh Ahmad Faizal di Perak sekarang nampak dipinggirkan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Dengan kata lain, parti Umno kini menjadi dominasi dalam MMK dan boleh membuat ketetapan menolak sebarang keputusan Menteri Besar yang kini jelas menjadi minoriti.

“Mengikut prinsip sistem demokrasi berparlimen, 6 orang ahli exco Umno boleh mengundi sebulat suara untuk menolak keputusan Menteri Besar,” kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan, hari ini.

Daripada 10 anggota exco kerajaan negeri Perak sekarang, 6 dari Umno, 2 dari Bersatu dan 2 dari PAS.

“Inilah hakikat politik setelah Perikatan Nasional membentuk sebuah kerajaan tanpa mandat dari rakyat,” tambahnya.

Menurut Abdul Aziz, keadaan sama juga berlaku di peringkat kerajaan tempatan seperti di Majlis Bandaraya Ipoh, yang 8 ahli majlisnya dari Umno sementara Bersatu 4 orang.

“Keadaan yang tidak seimbang ini bakal mengugat kedudukan Menteri Besar kerana tanpa sokongan Umno, Ahmad Faizal dijangka akan kehilangan jawatannya,” katanya.

Abdul Aziz adalah juga bekas exco dalam pentadbiran Ahmad Faizal bersama Pakatan Harapan. Ketika itu, barisan exco Perak terdiri daripada 5 wakil rakyat DAP, 3 Amanah, 2 PKR.

Ahmad Faizal ketika itu satu-satunya wakil rakyat Bersatu dalam kerajaan negeri.

Semalam, tiga lagi exco mengangkat sumpah iaitu Khairul Shahril Mohamed (Bota), Mohd Zolkafly Harun (Lintang) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering). Kesemua mereka wakil rakyat Umno dari Barisan Nasional.

Mereka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sebelum perasmian sidang DUN Perak semalam.

Pada 7 April, Ahmad Faizal mengumumkan tujuh exco yang dilantik, lebih tiga minggu selepas mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar pentadbiran baharu Perikatan Nasional yang menggantikan Pakatan Harapan, sama seperti di Putrajaya. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen