Kami buntu dibelit hutang, kata pengusaha bas


Zaim Ibrahim

Pengusaha bas Pulau Pinang kini buntu memikirkan masa depan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2020.

BERPULUH-puluh syarikat pengusaha bas kini buntu kerana dibelit hutang dan tidak dapat mencari jalan penyelesaian untuk meneruskan operasi di masa hadapan, kata pengusaha.

Seorang pengusaha bas dari Pulau Pinang, Mahadi Izadi Maharazi berkata ia masalah besar kerana mereka kini sudahpun tidak mampu untuk mencari duit makan atau membayar bil utiliti.

Oleh itu mereka amat berharap kerajaan mempertimbangkan agar moratorium pinjaman turut diperluaskan kepada syarikat kredit.

“Pengusaha bas terpaksa buat pinjaman daripada syarikat kredit kerana bank banyak tolak kami, atas alasan kami golongan berisiko.

“Selepas membuat rundingan, mereka setuju untuk membenarkan tangguh bayaran pinjaman tetapi kadar faedah pula semakin naik.

“Kami tuntut kerajaan untuk bayar pinjaman ini kepada syarikat-syarikat kredit, kemudian kami akan bayar semula kepada kerajaan,” katanya.

Beliau yang mengusahakan bas pelancongan sejak 30 tahun lalu bimbang jika syarikat kredit menarik bas tersebut dan menutup terus peluang mereka untuk mencari makan.

Katanya kerajaan juga boleh memendekkan tempoh bayaran insurans kepada empat atau lima bulan daripada setahun untuk mengurangkan beban kos operasi.

“Sebuah bas paling murah pun bayar insurans RM12,000 untuk setahun. Kalau bas dua tingkat, harga boleh cecah RM40,000 ke atas.

“Kalau kerajaan bantu dengan memendekkan tempoh kepada empat atau lima bulan, kami boleh bayar dalam RM4,000 atau RM5,000.

“Itu pun sudah bantu kami daripada tanggung kos insurans, sedangkan bas pun kejap bergerak kejap tidak,” jelasnya.

Selepas mengeluarkan ribuan ringgit untuk patuh SOP bagi kembali beroperasi, lonjakan kes Covid-19 gelombang ketiga mengagalkan usaha pengusaha bas ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2020.

Beliau ditemui bersama Presiden Persatuan Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara Ahmad Ruslan Abdul Latif yang membuat laporan polis di George Town minggu lalu bagi menuntut moratorium itu.

Satu lagi laporan sama dibuat di Kuantan oleh Sekretariat Gabungan Bas Malaysia Negeri Pahang yang turut menuntut penangguhan bagi membayar hutang dari syarikat kredit.

Laporan oleh wakil gabungan itu Sathies Supramaniam itu dibuat ke atas tiga kementerian iaitu pengangkutan, kewangan dan pelancongan.

Seorang lagi pengusaha bas dari Batu Kawan, Pulau Pinang, Aziz Zainal Abidin berkata, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterima individu tertentu tidak mampu menangani masalah utama.

Beliau yang kini mengusahakan perkhidmatan bas kilang buat sementara waktu berkata, rata-rata pengusaha bas bimbang jika mereka muflis.

“Kami boleh bankrap, bila-bila masa bas kami boleh ditarik jika tidak bayar ansuran pinjaman. Sebab itu kami mohon kerajaan prihatin dengan industri pelancongan.

“Kita pun hendak majukan pelancongan dalam negara supaya boleh bawa keuntungan kepada kerajaan.

“Kalau tiada bantuan, pinjaman tidak boleh bayar… kami bankraplah. 

“Nama kami boleh disenarai hitam, sukar untuk kami buat perniagaan lain, jadi kerja apa boleh buat nanti?” tanyanya.

Aziz juga sedia menyerahkan basnya secara percuma kepada kerajaan kerana beliau juga tidak sanggup beroperasi tanpa sebarang keuntungan.

Katanya beliau juga terfikir untuk menjual semua bas dan menghentikan operasi namun ia tidak akan menyelesaikan hutang dan gaji pekerja.

“Jangan lah sampai kami terpaksa turun ke Putrajaya dan buat mogok di pejabat  Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

“Kalau kerajaan mahu bas kami dan mereka yang tanggung ansuran pinjaman, kami sanggup serahkan bas ini secara percuma.

“Asalkan nama kita tidak disenarai hitam,” tegas beliau.

Pengumuman bantuan untuk merancakkan semula pelancongan dalam Belanjawan 2021 menerima kritikan kerana dilihat hanya menumpukan kepada syarikat penerbangan.

Pengusaha pelancongan pula menganggap bantuan dalam belanjawan tersebut tidak bermakna buat mereka.

Dalam pembentangan pada 6 November, kerajaan mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi melatih dan penempatan semula 800 kakitangan syarikat penerbangan.

Dana itu juga bagi mencipta 500 peluang pekerjaan kepada komuniti Orang Asli dan penduduk tempatan bagi menggalakkan aktiviti eko pelancongan.

Selain itu RM50 juta disediakan untuk kos penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan manakala RM20 juta untuk promosi kampung-kampung budaya.

Kerajaan juga akan membantu Sabah dengan Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,000 untuk pemandu teksi, pemandu e-hailing, perkhidmatan kereta sewa dan pemandu pelancong di negeri itu. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen