Belanjawan 2021 tiada makna untuk pelancongan, kata pengusaha


Zaim Ibrahim

Persatuan pelancongan Langkawi berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan aktiviti pelancongan kerana pulau itu berada dalam zon hijau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

PENGUSAHA melihat peruntukan dan inisiatif untuk pelancongan dalam Belanjawan 2021 tidak mampu memulihkan sektor itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengusaha di Pulau Pinang dan Kedah ini memberitahu The Malaysian Insight mereka kecewa kerana diabaikan walau menjadi penyumbang kedua terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi Ahmad Phisol Ishak berkata inisiatif yang diumumkan bukanlah langkah yang baik untuk memulihkan ekonomi pelancongan di pulau itu.

“Kerajaan umumkan akan sediakan program latihan untuk staf syarikat kapal terbang yang terjejas, tapi pengusaha bukan perlukan lebih banyak latihan.

“Masalah kita sekarang ialah bagaimana untuk jana pendapatan, bagaimana nak gerak ke hadapan?” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Phisol yang terlibat dalam pelancongan lebih 30 tahun di pulau legenda itu berkata, kerajaan sepatutnya menggalakkan aktiviti pelancongan kerana Langkawi berada dalam zon hijau.

“Disebabkan kita zon hijau, kerajaan boleh bantu kita dengan cara galakkan pelancongan antara zon hijau.

“Langkah ini boleh bantu pulau kita yang bergantung lebih 90% kepada pelancongan,” jelasnya.

Phisol turut mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan semula inisiatif lama yang masih tidak dijayakan.

“Contohnya sediakan 500 peluang pekerjaan kepada penduduk komuniti dan masyarakat Orang Asli, benda ini kami sudah buat lama, memang kerja orang tempatan jadi pemandu pelancong.

“Daripada segi membaiki tempat pelancongan, perkara ini pun sudah dibuat tetapi tiada pemantauan. Apabila ada aduan, baru bertindak untuk baiki dan sebagainya,” tambah beliau.

Dana untuk melatih kakitangan syarikat penerbangan itu merujuk kepada peruntukan RM50 juta bagi 8,000 individu, yang diumum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dana itu juga bagi mencipta 500 peluang pekerjaan kepada komuniti Orang Asli dan penduduk tempatan bagi menggalakkan aktiviti eko pelancongan.

Selain itu RM50 juta disediakan untuk kos penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan manakala RM20 juta untuk promosi kampung-kampung budaya.

Kerajaan juga akan membantu Sabah dengan Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,000 untuk pemandu teksi, pemandu e-hailing, perkhidmatan kereta sewa dan pemandu pelancong di negeri itu.

Pulau Pinang menjadi tarikan kerana pemandangan indah dan makanannya. Jalan Armenian di Georgetown antara lokasi tumpuan pelancong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengusaha Hote (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass pula berpendapat industri perhotelan masih dipinggirkan kerajaan melalui pembentangan Jumaat.

“Hotel akan terjejas kerana tiada bantuan. Belanjawan ini amat menyedihkan.

“Pelancongan adalah penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara, kenapa tidak dijaga? Kenapa biarkan kami begitu saja?” soalnya.

Eugene turut mendedahkan beberapa hotel kini bersedia untuk ditutup kerana tidak mampu beroperasi dalam tempoh Covid-19.

“Kita sudah minimumkan operasi serendah yang boleh, malah ada empat ke lima hotel di Kuah, Langkawi akan ditutup.

“Ahli kita sudah kecewa. Nak komen lebih pun tiada makna sebab belum tentu kerajaan boleh beri peruntukan tambahan kepada kami,” katanya.

Tambahnya, cadangan MAH sudahpun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan meliputi cara memulihkan pelancongan dan membantu kerajaan menjana pendapatan.

“Tapi cadangan kita seolah-olah tidak didengar,” jelasnya.

Dass juga hairan kerana bantuan khas diumumkan untuk negeri itu tetapi tidak untuk negeri lain.

Sementara itu Persatuan Tarikan Pelancong (ATAP) Pulau Pinang pula bimbang industri pelancongan akan terus mati kerana tidak banyak bantuan disalur dalam Belanjawan 2021.

Presidennya Ch’ng Huck Theng menegaskan, bantuan subsidi gaji perlu dinilai semula untuk bantu pengusaha memelihara pekerja mereka.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan rakyat mampu melancong dan membelanjakan wang dalam negara.

“Kerajaan mesti meningkatkan program subsidi gaji untuk memelihara pekerja dan melindungi perniagaan untuk terus bertahan dalam tempoh krisis ini.

“Program moratorium untuk industi pelancongan juga perlu dilanjutkan hingga pertengahan 2021 kepada rakyat Malaysia supaya mereka mempunyai wang lebih untuk melancong ke negeri lain.”

Selain itu, Malaysia perlu berani dan mempunyai pelan yang strategik untuk membuka ruang sempadan untuk beberapa negara bagi membawa masuk pelancong, katanya.

Pengusaha Taman Burung Pulau Pinang, Dr Gino Ooi pula melihat industri pelancongan tidak mendapat sokongan daripada kerajaan sama ada secara moral atau kewangan dalam Belanjawan 2021.

“Premis zoo atau taman haiwan berbeza dengan tempat tarikan pelancongan yang lain. Kita perlu beroperasi setiap hari untuk memberi makanan kepada haiwan dan menjaga kesihatan mereka.

“Dalam tempoh Covid 19, kos operasi lebih mahal sebab kita terpaksa mendapatkan bekalan makanan dari kedai runcit berbanding pembekal lain yang harganya lebih mahal.

“Daripada Belanjawan saya tidak nampak apa-apa usaha kerajaan untuk bantu zoo seperti kita,” katanya.

Dr Ooi menjelaskan, beliau tidak meminta bantuan kewangan tetapi bantuan memudahkan pemberian permit untuk menangkap burung liar di dalam hutan untuk dipelihara dan dipamer.

“Kita hadapi masalah apabila hanya mempamer burung yang sama kerana kerajaan tidak memberikan permit untuk menangkap burung di hutan dalam negara, supaya boleh dipamerkan dan dipelihara.

“Jika kita ada burung baharu dan unik, pengunjung secara tidak langsung akan semakin ramai,” katanya. – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen