Adakah Daim mahu ECRL dimiliki, dikawal syarikat asing?


SAYA yakin Daim Zainuddin sebagai seorang bekas menteri kewangan berpengalaman di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad akan faham mengapa kerajaan hari ini memilih untuk strukturkan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sebagai pelaburan domestik dengan pembiayaan asing.

Kerajaan amat jelas melalui pelbagai jawapan di Parlimen dan kenyataan mengenai ECRL yang projek ini adalah pelaburan domestik dibiayai pinjaman mudah daripada China dengan kadar faedah lebih memihak kepada kita, yang lebih rendah daripada kos dibiayai kerajaan.

Kita belajar daripada kesilapan lalu di mana kerajaan pimpinan Dr Mahathir dan Daim telah meminjam dengan banyak daripada Jepun dan terpaksa membayar berganda apabila nilai yen meningkat tinggi berbanding ringgit manakala kerajaan hari ini sudah memastikan pinjaman mudah daripada China turut dilengkapi mekanisme meringankan risiko tukaran mata wang.

Sama ada distrukturkan sebagai pelaburan terus asing atau pelaburan domestik dengan pinjaman asing, objektif projek ECRL adalah bagi menjana aktiviti ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan jalinan pengangkutan kritikal antara pantai timur dengan pantai barat semenanjung bagi mengatasi keasingan ekonomi, dan ia masih lagi boleh dicapai.

Bagaimanapun, perbezaan utama adalah jika ECRL adalah pelaburan terus asing maka ia pihak asing akan memilik dan mengendalikan rangkaian keretapi ini.

Memandangkan rangkaian keretapi ini akan menyusuri semenanjung, kerajaan membuat keputusan yang pemilikan dan operasinya mesti dimilik negara bersandarkan kepada faktor keselamatan negara dan strategik ekonomi.

Sehubungan itu, ECRL dimiliki dan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang kemudiannya akan membayar semula pinjaman mudah apabila rangkaian ini mula beroperasi.

Jika projek ini adalah pelaburan terus asing, pemilik asing akan memindahkan semula keuntungan daripada operasinya ke negara mereka.

Pembiayaan asing bagi projek pelaburan domestik bukan konsep baharu di Malaysia.

Ketika era pentadbiran Dr Mahathir dan Daim, projek seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Projek Janakuasa Hidroelektrik Kenyir, Stesen Janakuasa Port Dickson (Tuanku Jaafar) dan pelbagai projek lain turut dibiayai melalui pinjaman mudah daripada Jepun.

Bagi tempoh lebih dekat, Jambatan Kedua Pulau Pinang turut dibiayai pinjamah mudah daripada China.

Bagaimanapun, jika Daim mahupun Dr Mahathir mempunyai isu dengan projek ECRL sebagai pelaburan domestik melalui pinjaman mudah berbanding pelaburan terus asing, saya sarankan mereka nyatakan pendirian mereka dan gesa kerajaan untuk menjual projek infrastruktur strategic ECRL dan letakkan ia di bawah pemilikan asing.

Adakah Daim dan Bersatu akan lebih gembira jika warga asing memiliki dan mengendalikan ERCL? Dan jika ia pelaburan terus asing China, adakah mereka akan mengkritik projek itu dan mendakwa ia adalah penguasaan ekonomi oleh China sebagaimana mereka dakwa pada pelaburan lain negara itu di Malaysia?

Saya ingin ulangi sekali lagi yang perdana menteri mengunjurkan projek ECRL ini sebagai pengubah ekonomi yang sudah terlewat di mana ia akan menyediakan satu jalinan penghubung antara pelabuhan pantai timur dan barat serta menyediakan rangkaian keretapi selamat bagi mengangkut berjuta penumpang.

Projek ini akan menjana ekonomi negeri pantai timur secara signifikan pada masa akan datang.

Projek utama ini seharusnya dilakukan ketika era Dr Mahathir ketika perunding yang dilantik pada masa itu mengunjurkan kosnya adalah lebih rendah.

Malangnya, Dr Mahathir memilih untuk membina projek mega lain berbanding rangkaian keretapi yang dapat memberi peningkatan kepada ekonomi pantai timur.

Jika kerajaan hari ini melengahkan projek ini sebagaimana tindakan Dr Mahathir, kosnya akan melonjak lebih tinggi pada masa akan datang.

Pada masa projek ECRL ini akan bermula, ia tidak sepatutnya dilengahkan atau lebih teruk lagi, dipolitikkan. Rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang berhak menerima layanan dan peluang lebih baik. – 19 Disember, 2017.

* Abdul Rahman Dahlan adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen