Wajarkah keluar duit Akaun 1 KWSP?


Noor Amin Ahmad

SAYA ditanya tentang kebarangkalian mengeluarkan duit daripada Akaun 1 KWSP. Pandangan saya?

Umumnya saya suka jika duit siapa pun, biarlah pemilik sebenar duit itu yang tentukan ke mana mereka mahu berbelanja.

Kita memang selalu mengharapkan ia dibelanja ke jalan yang baik dan produktif. Tapi apa yang kita kata baik dan produktif itu tidak sama keutamaannya antara satu sama lain.

Ini kerana pemilik sebenar yang berhak dan tahu apa keperluan mereka (meskipun ada yang kita tidak setuju). Itukan duit mereka?

Tapi duit simpanan kita di KWSP bukanlah “duduk keras” dalam tabung. Ia digunakan untuk pelbagai pelaburan bagi pihak kita. Dalam horizon pelaburan misalnya 30 tahun, kita menjangkakan simpanan ini akan berkembang dan memberi pulangan lebih besar. Katakan kita simpan RM50,000. Lagi 30 tahun ia mungkin jadi RM150,000.

Bagaimana hendak jadi? Tentulah melalui pelaburan yang mendapat pulangan dalam tempoh horizon tersebut. Ada konsep nilai masa wang (time value of money) dan volatili pelaburan (baca: naik turun untung rugi dari semasa ke semasa) dalam keseluruhan horizon ini.

Pelaburan juga melibatkan banyak portfolio. Ada pelaburan dalam tol, dalam hartanah dan sebagainya. Dalam kata lain, duit KWSP tu ada di banyak tempat. Jika kita kita nak keluarkan, KWSP kena tarik balik pelaburan-pelaburan yang dibuat.

Dalam kata lain, pulangan yang dimahukan tak mungkin dapat dipenuhi. Seterusnya pihak yang menerima pelaburan akan berdepan masalah lain pula untuk menampung perbelanjaan. Maksud saya di sini ada kesan rantaian dan perundangan lain terlibat.

Untuk dapatkan balik pelaburan ini juga, kebarangkalian besar sebahagian aset yang menerima pelaburan ini terpaksa dicairkan. Semasa krisis ini kebanyakan aset tidak mencapai nilai optimum semasa. Harga jualannya akan jauh rendah, silap-silap bukan keuntungan yang dapat tetapi rugi. Ya, bukan waktu yang sesuai untuk jual aset.

Pengeluaran besar-besaran ini juga berpotensi menyumbang kepada kejatuhan pasaran modal dalam negara. Ini akan memberi masalah yang jauh lebih teruk.

Tapi saya percaya moratorium dan suntikan tambahan boleh dilakukan. Dalam sidang Dewan Rakyat lalu saya mempersoal kenapa menteri kewangan hanya naikkan siling hutang kepada 60%, bukan 65%?

Kita mesti menjangka kurangnya hasil kerajaan, kurangnya perdagangan, kurangnya pengeluaran, kurangnya permintaan kerana ramai hilang kerja dan ambil potongan gaji dan sebagainya.

Memang, kita tersepit antara batu dan tempat keras (between rock and hard place). Setiap tindakan kerajaan pasti ada kesan jangka pendek dan panjang. Kita tidak punya banyak pilihan. Bukan saja kerajaan, tetapi rakyat juga mesti mengambil kesempatan ini untuk memahami.

Saya masih ingat dulu Ezam Mohd Nor memberi perumpamaan menarik. Katanya, ekonomi yang makmur sama macam air pasang. Orang tak nampak batu karang, sampah dan lain-lain di bawah permukaan. Bila ekonomi merudum, banyaklah kepincangan lebih mudah terlihat.

Saya berharap semua akan mengambil masalah sebagai peluang. Dulu semasa krisis 1997-1998, Anwar Ibrahim selalu menekankan pandangan Schumpeter tentang kemusnahan kreatif (creative destruction).

Ketika berdepan masalah, kita mesti lebih tegas melakukan yang betul. Ini masanya semua orang boleh dan mesti menerima perubahan sistem dan struktur yang akan membuang kelemahan-kelemahan pendorong rasuah, ketirisan dan sebagainya.

Jangan kerana takut pembaikan sistem akan mengurangkan peluang salah guna kuasa, maka kita hanya melihat masalah sebagai masalah. – 6 November, 2020.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen