Belanjawan 2021: Masa untuk perdamaian politik demi rakyat


YANG di-Pertuan Agong pada 28 Oktober menyeru ahli Parlimen menyokong dan meluluskan Belanjawan 2021. 

Melalui kenyataan media Istana Negara, baginda memberi amanah kepada kedua-dua belah pihak, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang untuk berunding dan meneliti Belanjawan 2021 agar mereka mampu berganding bahu memenuhi keperluan rakyat yang berhadapan dengan krisis Covid-19.

Ini kali pertama seorang ketua negara menyeru ahli Parlimen menyokong belanjawan kerajaan sebelum ia dibentangkan kepada Parlimen.

Faktanya, Parlimen mempunyai kuasa yang tertinggi dalam meluluskan sumber kewangan kerajaan. Perkara 99, 100 dan 102 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa Parlimen mempunyai kuasa meluluskan perbelanjaan kerajaan.

Selain itu, ahli Parlimen juga bebas membuat keputusan dalam setiap usul yang dibawa kerajaan.

Hakikatnya, perdana menteri perlu bertanggungjawab kepada parlimen. Peranan Parlimen adalah memastikan jemaah menteri berfungsi dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Disebabkan jumlah ahli Parlimen PN dan pembangkang tidak jauh bezanya, kebarangkalian risiko Belanjawan 2021 tidak diluluskan adalah tinggi. Kerajasama dengan pembangkang adalah satu cara terbaik bagi mengelak keadaan buruk berlaku.

Masyarakat sivil dan ahli akademik mencadangkan kerajaan melaksanakan Confidence Supply Agreement (CSA). Kaedah ini merupakan satu konsensus bahawa pembangkang tidak akan menolak belanjawan dan membuat undi tidak percaya kepada perdana menteri. Sebagai balasan, kerajaan perlu melibatkan pembangkang dalam merangka belanjawan negara.

Cuma, rakyat tertanya-tanya, sejauh manakah kerjasama kerajaan-pembangkang sedang dilaksanakan selepas cubaan darurat gagal?

Keterbukaan kerajaan amat penting

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan pembangkang bekerjasama untuk merangka perancangan bagi mengatasi krisis Covid-19 dengan kerajaan. Tetapi kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih lagi diam dan kaku untuk terbuka untuk menyahut kerjasama ini.

Menyingkap kedudukan ‘minoriti’ kerajaan PN, begitu penting untuk kerajaan terbuka dan berlapang dada untuk membuat konsensus bersama pembangkang.

Kerajaan perlu komited dalam hal ini dan memberi ruang kepada ahli Parlimen pembangkang merangka bersama-sama Belanjawan 2021 sebelum undian belanjawan dilaksanakan.

Ahli Parlimen pembangkang mempunyai hak untuk melihat butiran Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan dan terlibat dalam perbincangan belanjawan. 

Perlu ditegaskan bahawa rundingan kerajaan-pembangkang ini tidak memberi jalan mudah kepada pihak eksekutif untuk lari daripada semak dan imbang parlimen.

Amat janggal sekali apabila perdana menteri mengharapkan sokongan ahli Parlimen tanpa memberi maklumat dan tidak melibatkan ahli pembangkang sebelum belanjawan dibentangkan. Malah, ada anggota pentadbir PN yang terus bermain politik dengan memperlelehkan pembangkang.

Kecelaruan pembangkang

Tidak dinafikan, begitu banyak cadangan diberikan oleh pembangkang, tetapi ia tidak disusun rapi. Ahli Parlimen pembangkang juga dilihat masih berpecah dan tidak menguruskan tuntutan yang mahu dimasukkan dalam Belanjawan 2021 secara sistematik.

Secara tradisinya, Pakatan Harapan (PH) akan mengeluarkan Belanjawan Alternatif sebagai satu dokumen yang memberi cadangan yang boleh menutup kelompongan belanjawan negara.

Sepatutnya, PH membuat kaedah yang sama, iaitu merangka sebuah dokumen yang disepakati ketiga-tiga parti utama, mengandungi tuntutan-tuntutan yang diperlukan rakyat dalam Belanjawan 2021 seperti pekerjaan, moratorium dan strategi menangani kos sara hidup. Ia boleh dijadikan sebahagian daripada rundingan antara kerajaan dan pembangkang.

Tetapi, rakyat masih belum jelas akan cadangan alternatif yang kemas dan rapi daripada pembangkang menjelang Belanjawan 2021. 

Ia amat merugikan kerana pengalaman dan kemahiran mereka menjadi sebahagian ahli pentadbiran sebelum ini tidak dimanfaatkan dengan baik bagi menyemak kelompongan kerajaan PN. 

Jadi, bagaimana pembangkang akan berundingan dengan kerajaan jika tidak mempunyai rangka tuntutan untuk dibentangkan?

Langkah seterusnya

Menjelang seminggu sebelum belanjawan dibentangkan, rakyat belum melihat sebarang kerjasama kerajaan dan pembangkang. 
Perkara ini tidak seharusnya dilengahkan lagi memandangkan ketidaktentuan politik memungkinkan Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan.

Sebagai permulaan, wajar sekiranya menteri kewangan mengeluarkan laporan pra belanjawan (Pre-Budget) kepada Parlimen dan orang awam. 

Pra belanjawan merupakan dokumen yang mengandungi maklumat tentang kedudukan semasa perbelanjaan dan ekonomi negara, dasar dan hala tuju ekonomi kerajaan dalam Belanjawan 2021. 

Ia juga perlu menyatakan fokus utama kerajaan dalam sesuatu sektor dan program yang dianggap penting untuk pembangunan negara.

Maklumat yang disediakan dalam pra belanjawan boleh dianalisis oleh pembangkang lebih awal dan membantu mereka menyediakan rangka cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Bagi memperkemaskan struktur kerjasama ini, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu ditubuhkan berkaitan rundingan Belanjawan 2021 antara kerajaan dan pembangkang. 

Ahlinya terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang serta wakil Pejabat Belanjawan Negara (NBO) untuk berunding butiran-butiran belanjawan.

Sesi libat urus bersama organisasi dan masyarakat sivil perlu dilaksankan dalam jawatankuasa ini supaya mereka berpeluang untuk mengemukakan cadangan untuk dimasukkan dalam belanjawan.

Lebih baik sekiranya jawatankuasa ini ditubuhkan sebelum pembentangan Belanjawan 2021 agar ahli Parlimen boleh menyemak dan merangka belanjawan secara sistematik.

Lebih realistik sekiranya kerajaan PN menghidupkan semula sistem Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) untuk meneliti belanjawan bagi setiap kementerian.

Sehingga hari ini, Speaker Dewan Rakyat masih belum mengumumkan senarai Jawatankuasa Pilihan yang baharu dan ini telah menghadkan peranan semak dan imbang Parlimen.

Demi kepentingan rakyat yang berhadapan dengan krisis Covid-19, Muhyiddin perlu mengorak langkah segera untuk membuat kerjasama dengan pembangkang dalam sidang Parlimen akan datang. 

Tidak adil sekiranya kerajaan mengheret rakyat dalam konflik politik PN yang kian merungsingkan.

Jika kerjasama ini berlaku, ia akan menjadi titik permulaan ke arah politik dan Parlimen yang lebih matang dan terbuka dalam memperjuangkan hak rakyat. 

Jika ia gagal, maka ia akan membina tembok pemisah memecahbelahkan negara dan rakyat yang sedang diuji dengan krisis pandemik Covid-19. – 30 Oktober, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen