Hampir 90,000 hilang kerja, kata Perkeso


Perkeso menerima hampir 90,000 laporan mengenai pemberhentian kerja sepanjang tahun ini, lapor FMT.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima hampir 90,000 laporan mengenai pemberhentian kerja sepanjang tahun ini, lapor FMT.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz dipetik portal itu berkata pertubuhan itu menerima laporan mengenai 89,596 kes kehilangan pekerjaan setakat 22 Oktober lalu.

Ini bermakna purata hampir 10,000 kes dilaporkan setiap bulan, katanya.

“Ini menunjukkan terdapat peningkatan 278% berbanding 2019

“Sekiranya trend ini berterusan, kes kehilangan pekerjaan dianggarkan berjumlah lebih dari 100,000 pada hujung 2020,” katanya dipetik FMT.

Tambahnya, angka itu mula meningkat pada Mei apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kemudian melonjak pada Julai ketika kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula. 

“Trend mula stabil pada pertengahan Julai.”

Menurut Azman lagi, sektor pembuatan paling banyak melaporkan kes hilang pekerjaan tertinggi iaitu 20,492, merangkumi 23% kes, diikuti industri penginapan dan makanan dan minuman dengan 13,053 kes (15%) dan industri peruncitan 12,450 kes (14%).

Katanya, kebanyakan kes hilang pekerjaan dilaporkan di Lembah Klang, di mana Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan 27,619 dan 23,882 kes.

Ini diikuti Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 9,489 kes, atau 11% dari jumlah keseluruhan.

“Dari segi pekerjaan, kategori profesional paling banyak terjejas, dengan 23,022 (26%) kes, diikuti oleh pekerjaan juruteknik dengan 17,240 (19%) dan jawatan pengurusan dengan 11,762 (13%),” Azman dipetik berkata.

Tambah beliau, gelombang ketiga Covid-19 mencetus ketidaktentuan dalam pasaran buruh.

Azman turut meramalkan kadar pengangguran boleh mencapai antara 4% hingga 4.5% pada akhir tahun atau pada suku pertama tahun depan.

Kadar pengangguran pada 4.7% ketika ini katanya menunjukkan kadar penyertaan tenaga kerja secara perlahan meningkat berbanding dengan suku kedua.

Jelasnya, ini dipengaruhi oleh campur tangan aktif kerajaan melalui program seperti Prihatin, Penjana dan Kita Prihatin.

Menerusi Perkeso, pelbagai dasar pasaran tenaga kerja yang aktif telah dilaksanakan untuk menstabilkan kadar pengangguran, termasuk Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) dan skim subsidi upa, kata Azman.

“Kadar pengangguran dapat dikurangkan lagi jika graduan baru dan lepasan sekolah yang akan memasuki pasaran tenaga kerja tahun ini mengambil bahagian dalam program mempelajari kemahiran baru dan peningkatan kemahiran.” – 29 Oktober, 2020.   

 


  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen