Projek ECRL pinjaman atau pelaburan, soal Daim


Diyana Ibrahim Sheridan Mahavera

Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin sedang menumpu perhatian pada soalan yang diaju padanya di Dialog Malaysia Baru, Subang Jaya, Selangor.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli 17 Disember, 2017.

BEKAS Menteri Kewangan Daim Zainuddin mempersoalkan sama ada projek mega oleh syarikat China di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak boleh dianggap sebagai pelaburan.

Beliau berkata, antara projek mega dari China ialah pembinaan Projek Landasan Keretaapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM60 juta sebenarnya pinjaman bukannya pelaburan.

Dana projek tersebut melalui pinjaman Putrajaya daripada Eksport-Import Bank of China (Exim) dimana akan digunakan oleh kontraktor ECRL, iaitu China Communication Construction Company (CCCC).

“Berapa banyak pelaburan dia (China) bawa masuk? Macam Forest City? Adakah ECRL itu bawa duit.

“Kalau bayar duit itu makna pelaburan? Kalau awak pelabur, awak (akan) kata apa? Tak, itu pinjaman,” katanya pada satu sidang media di Subang Jaya hari ini.

Daim berkata demikian sebagai jawapan berhubung kebimbangan membawa masuk pelaburan dari China. 

ECRL dicanang oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai “game changer” untuk pembangunan Malaysia terutamanya di negeri pantai timur.

Ia mempunyai laluan sepanjang 688km bermula dari Gombak sehingga ke Kota Bharu. 

Mengikut data rasmi daripada pihak kerajaan, projek ini akan menelan belanja sebanyak RM55 bilion dan 85% daripada kos ini akan dibiayai China melalui Exim Bank manakala baki 15% akan dibiayai oleh program sukuk.

Bagaimanapun, Oktober lalu The Malaysian Insight melaporkan kos bagi akan naik RM60 bilion berbanding anggaran sedia ada yang berjumlah RM55 bilion.

Projek itu juga turut mendapat kritikan pelbagai pihak, terutamanya di kalangan pihak pembangkang. Nada yang sama diluahkan ramai pakar ekonomi yang menyuarakan kebimbangan mengenai projek itu.

Pada masa sama, Daim juga menyatakan kebimbangan mengenai isu pengganguran di Malaysia.

Tambahnya, isu tersebut amat penting dan perlu diberi perhatian kerana kerajaan sepatutnya membawa masuk pelaburan yang membuka peluang kerja kepada rakyat.

“Saya baca laporan, ramai tak dapat kerja jadi patut kerajaan patut bina suasana supaya orang datang melabur dan dapat bagi peluang pekerjaan.

“Isu ini adalah perkara penting, kerajaan perlu tekakankan masalah ini,” katanya yang ditemui media selepas program dialog Malaysia Baru.

Sementara itu, Daim turut membuat pengalian beliau tidak mempunyai rancangan untuk kembali aktif dalam politik.

“Saya telah bersara dan saya berharap alam terus bersara,” katanya apabila ditanya apakah harapannya kepada negara selepas pilihan raya umum PRU- 14 kelak.

Daim telah dua kali menjadi menteri kewangan semasa d ibawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 1984 hingga 1991 dan 1999 hingga 2001.

Ditanya apakah pandangannya sekiranya Dr Mahathir dilantik sebagai calon perdana menteri oleh Pakatan Harapan, Daim menjawab: “Ia terpulang pada rakyat.” – 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen