Belanjawan 2021 peluang terakhir Anwar, kata penganalisis


Noel Achariam

Jika Belanjawan 2021 berpihak kepada PN maka ia menunjukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mempunyai sokongan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

SIDANG Parlimen minggu depan yang akan memfokuskan kepada Belanjawan 2021 bakal menjadi peluang terakhir Anwar Ibrahim untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti daripada ahli Parlimen, kata penganalisis.

Mereka berkata walaupun Majlis Tertinggi Umno sudah menyatakan hasrat mereka menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Isnin, ada kemungkinan masih ada sebahagian ahli Parlimen Umno yang secara diam-diam menyokong Anwar.

Bagaimanapun, penganalisis berkata mereka tidak pasti sama ada presiden PKR itu ada majoriti besar seperti yang didakwanya pada 23 September.

Anwar berkata beliau memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Pada 2 November, Parlimen akan bersidang untuk kali terakhir tahun ini dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan dengan majoriti nipisnya itu bahawa beliau mendapat sokongan ketika membentangkan Belanjawan 2021.

Profesor madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata walaupun Umno kembali kepada PN, masih ada ahli seperti Najib Razak, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah dan beberapa yang lain mempunyai pandangan berbeza.

“Beza di Parlimen pada masa ini hanya dua undi. Anwar mungkin tidak ada sokongan keseluruhan tetapi mungkin daripada individu,” kata Awang Azman kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata ini adalah peluang terakhir Anwar untuk membuktikan sokongan diterimanya daripada ahli Parlimen di Dewan Rakyat. 

“Jika Anwar tidak berjaya, maka rakyat akan lihat beliau sudah gagal dan terpaksa tunggu dua tahun lagi untuk Pilihan Raya Umum ke-15.”

Pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat akan menjadi medan terakhir Anwar Ibrahim membuktikan beliau cukup sokongan untuk jadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

Umno pada Isnin mendesak diadakan agenda perdamaian nasional dengan penyertaan semua parti politik, termasuk pembangkang, untuk mengakhiri kebuntuan politik.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata Umno akan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Zahid terdahulu berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat menghalang wakil rakyatnya yang hendak menyokong Anwar dalam usaha membentuk kerajaan persekutuan dan menjadi perdana menteri.

Katanya, beliau dimaklumkan tentang siapa yang berniat untuk lompat parti dan beliau menghormati keputusan mereka.

“Saya dimaklumkan ramai ahli Parlimen Umno/BN beri sokongan. Saya hormat keputusan mereka,” kata Zahid.

Azman Awang berkata sukar untuk menyatakan adakah Anwar mempunyai majoriti seperti didakwanya.

“Ia hanya jika Agong memanggil semua pemimpin parti untuk mesyuarat, atau ada undi tidak percaya di Parlimen atau jika Belanjawan 2021 ditolak.

“Jika Belanjawan berpihak kepada PN maka ia menunjukkan Anwar tidak mempunyai sokongan. Maka kita akan tahu di mana kedudukan beliau.”

Awang Azman berkata faktor pemutus akan jadi penentu jika undi tidak percaya dibawa.

“Speaker mungkin tidak membenarkan undi tidak percaya, jadi Belanjawan 2021 akan menjadi penentu utama.” – 28 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen