'Daulat Tuanku' jadi trend di Twitter, raikan penolakan darurat oleh Agong


Aminah Farid

Pengguna media sosial menyambut baik langkah itu, dengan menyifatkannya sebagai keputusan yang dibuat demi kepentingan rakyat. – Gambar AFP, 25 Oktober, 2020.

“DAULAT Tuanku” mula menjadi trend di Twitter sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong menolak permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan darurat yang kononnya bagi mengekang Covid-19 di negara ini.

Pengguna media sosial menyambut baik langkah itu, dengan menyifatkannya sebagai keputusan yang dibuat demi kepentingan rakyat.

“Agong keluarkan kenyataan menyuruh ahli politik berhenti berpolitik dan berhenti membuat perkara tak bertanggungjawab yang akan menjadikan negara ini tak stabil. Agong benar-benar menyuruh ahli politik duduk dan bangun dari kerusi selesa mereka. Daulat Tuanku.” kata @heyitsmaryamxo.

“Terima kasih YDP Agong yang dikasihi! Kami bangga. Rakyat ada tuanku sebagai perisai kami bila yang lain tak mampu melindungi kami. Daulat Tuanku!” kata @pravinvejan

“Daulat Tuanku. Kami bersyukur ada kesultanan yang mementingkan negara dan rakyat berbanding ideologi politik. Keputusan yang bagus untuk negara dan rakyat kita. Ini jawapan terbaik untuk ahli politik yang gila kuasa,” kata @saravanan781225.

Seorang pengguna Twitter lain @miraaawahab berkata, “Agong kita adalah barisan pertahanan terakhir rakyat terhadap ahli politik yang tak kuat rasuah. Daulat Tuanku!”

“Terbukti, darurat itu bermotifkan politik. Tidak ada negara yang laksanakan darurat bila parlimen tergantung. Daulat Tuanku,” kata @BernardGT.

Pada Jumaat, ramai rakyat marah apabila Muhyiddin menemui Agong untuk menyampaikan keputusan Kabinet melaksanakan perintah darurat berikutan peningkatan drastik Covid-19.

Pengkritik berkata bahawa walaupun jumlah jangkitan koronavirus dilihat meningkat, Malaysia tidak berada dalam bahaya besar untuk perintah darurat, kerana strategi kerajaan untuk melandaikan keluk dalam gelombang pandemik sebelum ini diiktiraf sebagai antara yang terbaik.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin juga dijangka menghadapi undi tidak percaya jika Parlimen bersidang untuk membentang Bajet 2021 minggu depan.

Para pengkritik menuduh perdana menteri cuba mengekalkan kuasa dan mengelak undi tidak percaya dengan mengadakan perintah darurat yang membolehkan Parlimen digantung. – 25 Oktober, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen