Selepas IMAMS batal, agensi umrah minta kukuh lesen khas atasi penipuan


Nabihah Hamid

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji mahu kerajaan memperkukuhkan sistem lesen khas umrah (LKU) bagi membendung kegiatan penipuan jemaah umrah, selepas pembatalan IMAMS. – Gambar AFP, 17 Disember, 2017.

PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) mahu kerajaan memperkukuhkan sistem lesen khas umrah (LKU) bagi membendung kegiatan penipuan jemaah umrah, selepas pembatalan sistem pemantauan pengendalian pakej umrah bersepadu atau IMAMS.

Pengerusi Papuh, Razali Mohd Sham yang menyambut baik pembatalan IMAMS berkata kerajaan perlu membantu dan menggalakkan lebih 400 agensi pelancongan untuk berdaftar di bawah LKU.

“Kita sambut baik pembatalan. Bagi saya, untuk LKU ini kerajaan perlu lantik kesemua 400 agensi, mana yang tiada lesen dibantu, bimbing mereka (manakala) yang haram, perlulah diberi hukuman setimpal.

“Pastikan mereka ada lesen dan bagitahu dan sebarkan kepada masyarakat yang mana berlesen, selepas itu barulah boleh kuat kuasa sistem berpatutan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau menambah sekiranya semua itu sudah dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, bayaran yang munasabah misalnya antara RM15 atau RM20 boleh dikenakan kepada pengguna.

LKU dilancarkan kementerian 3 Oktober lalu menetapkan empat lagi syarat antaranya pemegang perlulah 100 peratus warganegara Malaysia dan beragama Islam selain menghadiri Kursus Pengukuhan Pemantapan Umrah (KPPU) di peringkat tertinggi berstatus pengarah atau pemegang saham.

Pemegang LKU juga perlu menjadi ahli Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra) serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) sekurang-kurangnya enam bulan, lapor Harian Metro.

Sehingga ini, terdapat 65 agensi pelancongan berstatus muasassah yang dilesenkan dengan LKU sejak 1 Oktober 2017.

Razali dalam pada itu turut menggesa kerajaan memanggil semua agensi umrah untuk berbincang sebelum melaksanakan sesuatu keputusan yang melibatkan mereka.

“Dasar itu bukan kita tidak mahu sokong cuma kita tak setuju sebab mereka tidak mahu bincang dengan kita (agensi).

“Yang 65 ada muasassah dan yang tidak ada (muassasah) lebih kurang 400. Semuanya ada pendapat mereka, (jadi, kerajaan) kena bincang kerana kadang-kadang ada benda terlepas pandang,” katanya lagi.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati semalam membatalkan IMAMS sehari selepas mengumumkan pelaksanaannya pada Jumaat selepas mendapat bantahan banyak pihak, antara lain kerana mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dalam pengumuman pelaksanaannya, beliau berkata IMAMS merupakan sistem bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah dan ziarah daripada menipu para jemaah.

Sistem itu merupakan satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah yang akan diproses oleh Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

Penggunaan sistem itu dikenakan bayaran sebanyak RM90.10 meliputi caj permohonan RM45, perlindungan takaful RM40 dan GST RM5.10.

Perdana Menteri Najib Razak dalam reaksinya selepas pembatalan itu menulis di Twitter beliau tidak setuju dengan pelaksanaan sistem IMAMS dan pembatalannya “adalah sangat tepat”.

Menurut statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, ada 3,762 kes penipuan jemaah umrah dengan nilai tuntutan berjumlah lebih RM23 juta difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia antara tahun 2012 hingga Oktober 2017.

Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan antara tempoh yang sama, pihak polis menerima sebanyak 290 aduan penipuan pakej umrah melibatkan nilai kerugian sebanyak RM11.5 juta.

Berdasarkan statistik kementerian pelancongan, seramai 250,000 jemaah telah menunaikan umrah pada musim umrah 2016 dan dijangka meningkat kepada 300,000 tahun ini. – 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen