PM tidak setuju pelaksanaan IMAMS


Perdana Menteri Najib Razak menyatakan pendiriannya berhubung sistem IMAMS menerusi akaun Twitter miliknya dari Bahrain hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak tidak setuju dengan pelaksanaan sistem pemantauan pengendalian pakej umrah Malaysia (IMAMS) yang dimula dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Sistem itu hari ini dibatalkan pelaksanaannya selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, sehari selepas diumumkan penguatkuasaannya oleh kementerian itu semalam.

“Saya tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa Umrah. Pengumuman ianya dibatalkan adalah sangat tepat,” kata Perdana Menteri melalui Twitter, dari Bahrain.

Berkuat kuasa semalam, semua permohonan visa umrah dikendalikan di bawah sistem pemantauan bersepadu atau IMAMS bagi mengelak sebarang penipuan pakej umrah.

Menurut statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, ada 3,762 kes penipuan jemaah umrah dengan nilai tuntutan berjumlah lebih RM23 juta difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia antara tahun 2012 hingga Oktober 2017.

Statistik Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan antara tempoh yang sama, pihak polis menerima sebanyak 290 aduan penipuan pakej umrah melibatkan nilai kerugian sebanyak RM11.5 juta.

Semua permohonan visa itu bagaimana dikenakan bayaran RM90.10 meliputi RM45 bagi caj permohonan, RM40 insurans takaful umrah dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10.

Pelbagai pihak sejak semalam mempertikaikan pelaksanaan kaedah baru itu atas dua alasan: pelaksanaan oleh syarikat yang kendalian bukan Islam dan kos tambahan RM90.10 termasuk GST.

Jabatan Kastam Di-raja dan Eksais pada Julai 2014 menyatakan GST tidak dikenakan bagi pakej penerbangan menunaikan haji dan umrah.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin juga pada Oktober lalu berkata jemaah umrah tidak dikenakan GST, semasa mengumumkan pelaksanaan lesen khas umrah (LKU) bagi membanteras penipuan pakej umrah.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan media hari ini mempersoalkan penglibatan seorang yang bernama Ryan Loh sebagai ketua pegawai operasi syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd yang mengendalikan IMAMS.

Beliau juga mendedahkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat berkenaan terdiri daripada seorang Melayu selaku pengarah dan tiga orang Cina selaku setiausaha.

Ryan Loh adalah penama yang menandatangani surat pemberitahuan kepada syarikat pelancongan yang memiliki lesen khas umrah (LKU) mengenai kadar pembayaran permohonan visa bagi jemaah umrah di bawah sistem baru itu.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Razali Mohd Sham mengesahkan kepada The Malaysian Insight pihaknya menerima surat yang tersebut yang ditandatangani oleh seorang yang bernama Ryan Loh, yang disebut sebagai Ketua Pengarah Operasi (COO) IMAMS.–  16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen